Jangan leka status hijau

BINTANGOR: Operasi pasukan petugas khas pematuhan digerakkan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi orang ramai di daerah ini.

Operasi yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diperkuatkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Meradong yang dianggotai Majlis Daerah Meradong Julau (MDMJ), Rela, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Sekam Anoi berkata, lokasi awam yang dipantau agak sibuk pada awal pagi, namun lengang selepas tengah hari dan petang.

Katanya, pemantuan dilakukan di 105 premis termasuk kedai runcit, premis jualan makanan dan stesen minyak. “Setakat ini, kepatuhan penduduk Meradong terhadap penjarakan sosial memuaskan.

“Selain dilawati, pemilik premis ini juga dinasihati mengisi borang notifikasi menjalankan aktiviti mahupun perniagaan menerusi laman sesawang http://community. service.sarawak.gov.my.

“Borang yang siap diisi perlu dicetak dan dipamerkan di premis perniagaan masing-masing,” katanya kepada media.

Sehubungan itu, Sekam mahu pemilik premis terus mematuhi peraturan dan syarat PKPB seperti menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka, menjalankan pembersihan nyahkuman tiga kali sehari, memaksimumkan pelanggan dalam kedai pada satu-satu masa dan sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk membersih tangan dengan kerap serta penggunaan sanitasi tangan.

Pada masa yang sama katanya, orang ramai perlu mengamalkan kebiasaan baharu (mengamalkan tabiat kesihatan yang tinggi) di samping mematuhi SOP (garis panduan) yang ditetapkan.

“Kami juga menasihati orang ramai agar tidak keluar rumah kecuali atas urusan penting atau kecemasan sahaja,” ujarnya. Dalam pada itu, penduduk Meradong diingatkan agar tidak leka dengan status Meradong sebagai zon hijau yang bebas daripada wabak Covid-19.

“Perkembangan positif itu perlu dijadikan pencetus semangat untuk lebih mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pandemik itu dapat dicegah sepenuhnya,” tambahnya.