ARTIKEL

Jangan lepaskan peluang buat kad pengenalan, sijil lahir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PAKAN: Rakyat di kawasan pedalaman khasnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan dipinta jangan melepaskan peluang untuk membuat kad pengenalan dan sijil lahir untuk kepentingan diri dan keluarga.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, rakyat di Pakan haruslah menggunakan peluang sepenuhnya selagi Program Pengoperasian Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu penduduk Sarawak yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan di Daerah Pakan masih berlangsung.

“Saya berharap rakyat kita lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman merebut peluang ini bagi mereka yang belum ada sebarang kad pengenalan dan sijil lahir.

“Oleh itu, saya meminta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk menyampaikan berita berkaitan supaya rakyat dapat info berkenaan program tersebut dan tidak tercicir.

“Di samping itu juga, saya berharap agar rakyat dapat memberikan kerjasama kepada barisan petugas agar kesemua program dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau yang merupakan Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) berkata demikian selesai sahaja melakukan tinjauan terhadap program berkenaan di Pakan baru-baru ini.

Pada tinjauan tersebut juga, Mawan sempat beramah mesra bersama petugas dan rakyat Pakan serta menghulurkan sumbangan belanja bagi kegunaan petugas dalam program berkenaan.

“Semasa tinjauan ini, saya menyifatkan bahawa para petugas telah melaksanakan program ini dengan jayanya dan berkesan serta cemerlang di Pakan.” Ujar Mawan.

Ujarnya lagi, tanpa sebarang dokumen pengenalan, akan menyusahkan diri mereka sendiri termasuk juga ahli keluarga lebih-lebih lagi kepada anak-anak.

“Tanpa dokumen penting ini, agak susah untuk kita bergerak termasuk anak-anak yang amat memerlukan dokumen pengenalan ibu bapa untuk bersekolah dan sebagainya.

“Jadi saya berharap, rakyat yang belum ada sebarang dokumen pengenalan diri datanglah ke program berkenaan untuk berbuat demikian.

“Tetapi mereka haruslah penduduk atau warganegara sah dan diperakui oleh ketua kaum sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mawan turut berharap agar penduduk di Pakan dapat memberikan sokongan kepada program berkenaan supaya penduduk yang belum memiliki taraf kewarganegaraan dapat berbuat demikian.

Jelas Mawan, setakat ini program tersebut menerima sambutan yang sangat memberansangkan dan setakat tiga hari operasi di buka, lebih 200 orang pemohon telah direkodkan.

“Oleh kerana sambutan yang menggalakkan dan di atas pentingnya program ini, saya telah meminta tambahan dua hari lagi untuk PPK beroperasi di Pakan.

“Ini adalah bagi memberi peluang kepada yang belum sempat berurusan pada tiga hari yang lepas,” katanya.

Selain itu juga, Mawan berterima kasih kepada kerajaan Sarawak lebih-lebih Premier Sarawak yang sentiasa peka kepada kepentingan dan keperluan rakyat yang belum mendapat dokumen pengenalan diri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU