Jangan lupa ancaman denggi dan rabies dalam memerangi Covid-19

KUCHING: Dalam memerangi pandemik Covid-19, jangan lupa akan akan ancaman demam denggi dan virus rabies, kata Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.
Ujarnya belum ada rawatan tertentu bagi penyembuhan penyakit demam denggi, begitu juga dengan virus rabies dengan hampir 100 peratus kes yang dilaporkan membawa maut.
“Bagi kawasan MPP tempat yang melaporkan kes rabies adalah di di Kampung Punau, Kampung Quop, Kampung Bumbok, Kampung Semeba, Kampung Sebetong, Jalan Datuk Stephen Yong dan Kuching City Mall,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat penuh MPP menerusi aplikasi Zoom di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya bagi tempoh 27 Disember hingga 2 Januari lalu, terdapat 72 kes gigitan anjing direkodkan di Kuching dengan 37 kes berlaku di kawasan MPP.
“Sementara setakat 3 hingga 23 Januari, sejumlah 99 kes serupa berlaku di Kuching tetapi tiada sebarang kejadian gigitan anjing dilaporkan.
“Bagi tahun 2020 pula, sejumlah 16,279 kes gigitan anjing telah berlaku di Kuching,” ujarnya
Bercakap mengenai penyakit demam denggi, katanya setakat tahun ini tiada sebarang kes berkenaan dilaporkan di kawasan MPP.
“Tetapi harus diingatkan bahawa risikonya tetap ada, sehubungan itu masyarakat harus sentiasa menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan memusnahkan potensi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Sebagai rekod, setakat tahun ini sejumlah 280 premis di kawasan MPP telah diperiksa termasuk kedai, kediaman dan sekolah terutamanya di tempat berisiko tinggi,” tambahnya.

Suara Sarawak