Jangan lupa rabies

SETIAP hari kita dihidangkan dengan laporan berita perkembangan Covid-19 tanpa gagal.

Ia umpama keperluan harian kita sejak Mac tahun lalu.

Fokus masyarakat kini adalah lebih kepada Covid-19 kerana ia merupakan pandemik paling bahaya setakat ini yang boleh menjangkiti ribuan manusia dalam satu masa.

Namun, kita lupa selain virus Covid-19, masih ada wabak lain yang wujud dalam kalangan masyarakat seperti rabies yang juga boleh membawa maut.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi wabak termasuk menghindari wabak daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat.

Apakah yang boleh dilakukan?

Bagaimanakah masyarakat dapat membantu pihak berkuasa membanteras rabies?

Baru-baru ini, terdapat aduan daripada penduduk Kampung Mang Lot di Kota Samarahan tentang kehadiran anjing liar di kawasan mereka.

Menurut salah seorang penduduk di kampung tersebut – Junaidi Hassan, kehadiran anjing liar di kawasan mereka semakin bertambah, sekali gus membimbangkan penduduk.

Ketika tinjauan, saya mendapati kehadiran anjing liar itu melebihi lima ekor dan penduduk kampung juga memaklumkan bahawa anjing liar yang terdapat di kawasan Kampung Mang Lot itu melebihi 10 ekor.

Sudah pasti, kebimbangan dalam kalangan masyarakat juga tidak dapat dielakkan kerana ia boleh menyebabkan risiko jangkitan rabies dalam kalangan penduduk setempat.

Meskipun tiada serangan anjing liar tersebut setakat ini, tetapi keselamatan dan kebersihan di kawasan kampung tetap menjadi keutamaan kepada penduduk di Kampung Mang Lot.

Ekoran itu, perkara tersebut juga mendapat perhatian daripada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) termasuk melakukan tindakan sewajarnya terhadap isu anjing liar tersebut.

Pengerusi MPKS Datuk Peter Minos berkata, beliau mengarahkan Bahagian Kesihatan Awam MPKS untuk mengambil tindakan secepat mungkin bagi mengatasi masalah berkenaan termasuk memeriksa dan mengambil tindakan seperti menangkap anjing liar dan sebagainya. Ini membuktikan isu anjing liar juga serius dan tidak boleh dipandang enteng.

Ia juga perlu diberikan perhatian berterusan.

Ya, pandemik Covid-19 adalah isu besar yang kita semua perlu diberikan penekanan untuk mencari penyelesaian tetapi tidak bermakna kita boleh melupakan wabak lain yang juga boleh menyebabkan kematian.

Tepuk dada tanya selera. Memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 22 Disember 2020, terdapat satu kes rabies baharu dalam kalangan manusia yang disahkan pada minggu epid ke-50, menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak meningkat kepada sembilan orang pada 2020.

Kes ini adalah seorang wanita berusia 53 tahun dari daerah Selangau, Sibu yang telah dimasukkan ke wad di Hospital Sibu pada 8 Disember 2020 dengan gejala sesak nafas dan batuk.

Dia juga mengadu sakit tekak, demam dan lemah badan selama tiga hari sebelum dimasukkan ke wad.

Beliau meninggal dunia pada 15 Disember 2020 dengan diagnosis rabies meningoencephalitis.

Diagnosis disahkan dengan ujian makmal positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 17 Disember 2020.

Selain itu, rekod mendapati mendiang pernah digigit anjing peliharaannya di bahagian jari pada Oktober 2020, namun beliau tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

Anjing tersebut mati tanpa diketahui sebab kematian beberapa hari selepas menggigit tuannya tetapi ia tidak dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Mangsa juga membela beberapa ekor anjing dan kucing tetapi kesemua haiwan ini tidak dibawa untuk suntikan vaksin antirabies.

Pertambahan kes tersebut juga menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 31 Julai 2017 sehingga tahun lalu adalah berjumlah 31 kes dengan 29 kematian.

Oleh itu, marilah kita semua mengambil langkah berjaga-jaga dan memandang serius isu wabak tidak kira pandemik Covid-19, rabies, denggi dan sebagainya.

Teruslah menjaga kebersihan dan keselamatan masyarakat setempat.

Suara Sarawak