Jangan malu jadi guru taska, berbanggalah..

KUCHING: “Sebagai warga pendidik Pendidikan Awal Kanak-kanak anda harus berbangga dan tidak malu dengan kerjaya ini kerana andalah penentu dalam mencorakkan personaliti, sahsiah dan keperibadian anak-anak kecil ini,” tegas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Jelas beliau adalah menjadi harapan untuk melihat lebih seramai 100 guru yang berkelayakan sekurang-kurangnya diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak di Sarawak menjelang 2021.

“Adalah menjadi harapan di kementerian untuk melihat, seramai mungkin sekurangnya 100 orang warga pendidik yang terlibat dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak untuk beberapa tahun akan datang selaras dengan misi dan visi kementerian,” katanya berucap dalam Majlis Ramah Mesra Gawai Raya 2019 di Hotel Serapi baru-baru ini.

Dalam majlis berkenaan turut diadakan majlis penyampian sijil tamat kursus kepada 21 orang pengasuh dan pemilik taska yang sebelum ini yang mengikuti Kursus Asas Permata dan pada peringkat terakhir akan melalui ujian bertulis bagi melayakkan mereka berjaya ke peringkat seterusnya.

“Sehingga kini di Sarawak kita telah kenal pasti lebih 60 peratusan telah dicapai dalam usaha kita memastikan semua pemilik taska mendapatkan kelayakan sewajarnya dalam mengusahakan termasuklah menjaga anak-anak kecil ini, kerana bagi mencapai 100 peratus ini ada cabaran melibatkan kemasukan orang baru dalam industri ini sentiasa ada.

“Tahun ini sebanyak RM200,900 diperuntukkan untuk menjalankan Kursus Asas Permata yang telah kita adakan melibatkan beberapa persatuan termasuklah Persatuan Pengasuh dan Pendidik Awal Kanak-kanak Sarawak (3PAKS) dan Persatuan Pengasuh dan Pendidik Awal Kanak-kanak Islam Sarawak (PAKIS),” katanya.

Melalui itu ujarnya pendidikan awal kanak-kanak harus dipelajari oleh semua guru taska, dan pengusaha taska, kerana pihaknya mewajibkan adanya sijil Kursus Asas Permata.

“Kepada sesiapa yang belum menghadiri kursus ini kita seru mereka untuk hadir ke kursus ini kerana ia salah satu perkara wajib bagi melayakkan mereka bergelar guru kepada anak-anak ini,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya , Kerajaan Persekutuan kini tidak lagi memperuntukkan bajet untuk pihaknya menjalankan pembangunan Pendidikan Kanak-kanak ini, oleh itu, kerajaan negeri akan membantu memberi peruntukkan yang mana akan diusulkan pada bajet sidang Dewan Undangan Negeri pada hujung tahun yang akan datang, tambahnya.

Selain itu, Fatimah berkata guru taska yang berkualiti haruslah mempunyai sikap, kelayakan, dan nilai yang betul oleh itu, geran tahunan RM5,000 setiap satu telah diusahakan oleh kerajaan negeri sehingga ke hari ini, untuk membantu setiap taska yang berdaftar.

“Geran ini bertujuan sebagai sokongan membantu taska mencapai aras kualiti yang boleh digunakan untuk membeli makanan yang berkualiti untuk tumbersaran anak-anak ini, pembelian peralatan pembelajaran melibatkan ‘fun learning’ dan sebagainya.

Di samping itu, pihaknya kini juga mewujudkan enam bengkel kepada semua pendidik bagi membangunkan professionalisme mereka yang akan bermula pada Julai ini.

“Antaranya ialah Bengkel Asuhan Kanak-kanak Berkeperluan Khas, Bengkel Bersih Awal Bersih Akhir (BABA), Seminar Occupational Safety and Health di IPAKK, Bengkel Science, Technology, Engineering, Art and Matchematic (STEAM), Seminar Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan Bengkel Perkongsian English Fun Learning,” jelas Fatimah.

Datuk Seri Fatimah Abdullah bergambar dengan peserta Kursus Asas Permata di Majlis Ramah Mesra Gawai Raya 2019 di Hotel Serapi baru-baru ini.