Jangan menyerah kalah berperang dengan Covid-19

KUCHING: Semua rakyat Malaysia jangan sesekali menyerah kalah walaupun penat mental dan fizikal berperang dengan pandemik Covid-19, kata Penganalisis Politik Datuk Peter Minos.
Tegasnya, pandemik dan kemelut ekonomi tidak boleh membuat rakyat berasa tertekan tetapi harus bersama-sama menyokong kerajaan dalam memerangi Covid-19 sehingga adanya vaksin.
“Rakyat Malaysia terkenal dengan kebangkitan seperti yang ditunjukkan semasa pergolakan Indonesia dan konfrontasi 1963 hingga 1965, tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 serta zaman kemerosotan ekonomi pada 1987 dan 1988.
“Pasti rakyat Malaysia akan bangkit dan boleh melakukannya, saya meramalkan menjelang Januari 2022 iaitu hampir setahun dari sekarang kita akan memenangi perang Covid-19 serta melihat pemulihan ekonomi,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Katanya, rakyat Malaysia tidak perlu berasa kesal dengan keadaan sekarang kerana kita berhadapan dengan virus yang tidak kelihatan pada pandangan mata dan ia sukar dihentikan.
“Semoga Tuhan menyelamatkan Malaysia dan kita bebas daripada bahaya yang dihadapi ini.  “Dan, diharap penderitaan ini akan berakhir dan ekonomi negara kita bangkit semula,” tambahnya.