Teruna berani buka perniagaan syarikat bukan bumiputera

Trending

Jangan mudah panik dihubungi Macau Scam

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Tiga mangsa penipuan Macau Scam dilaporkan mengalami kerugian hampir RM80,000 dalam tiga kejadian berasingan baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, Jumaat lepas polis menerima tiga laporan daripada mangsa masing-masing dari Kuching, Sibu dan Padawan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM77,200.

“Dalam kes pertama, seorang mangsa perempuan berusia 20 tahun dihubungi suspek menyamar sebagai ahli majistret kononnya mempunyai notis terakhir tunggakan saman bank berjumlah RM16,840.88.

“Mangsa seterusnya disambung kepada seorang lagi suspek menyamar sebagai seorang inspektor polis yang didakwa mengambil laporan mangsa sebelum disambung kepada suspek ketiga,” katanya di sini, semalam.

Jelas Mustafa, suspek ketiga meminta maklumat peribadi serta nombor identifikasi perbankan mangsa kononnya untuk tujuan pemeriksaan.

“Mangsa menyedari dirinya tertipu apabila wang berjumlah RM17,760 lesap dari akaun banknya.

“Dalam kes kedua, mangsa berumur 25 tahun yang bertugas di sebuah hospital di Sibu turut diperdaya taktik yang sama,” katanya.

Jelasnya, mangsa mendakwa dihubungi suspek dan diberitahu mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM16,800.88 dari sebuah bank.

Baca lain  Mampukah PH tunaikan janji?

Mangsa seterusnya disambungkan kepada seorang lagi suspek dan diarahkan menyerahkan maklumat akaun bank serta nombor TAC perbankan atas talian milik mangsa, jelasnya.

Mangsa menyedari ditipu selepas menerima satu mesej daripada pihak bank bahawa wang berjumlah RM39,440 miliknya telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga.

“Dalam kes ketiga, mangsa berumur 61 tahun telah dihubungi mengatakan mangsa mempunyai kes mahkamah berkaitan rasuah.

“Suspek juga meminta butiran mykad, nombor akaun bank dan maklumat perbankan mangsa dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Mangsa menyedari dirinya ditipu setelah mendapati wang berjumlah RM20,000 dalam akaunnya lesap selepas membuat semakan akaun bank.

Menurut Mustafa, sebanyak 64 kes penipuan Macau Scam dilaporkan di Sarawak dengan jumlah kerugian mencecah RM4.09 juta untuk tempoh 1 Januari hingga 26 Julai tahun ini.

Pada 2018, sebanyak 84 kes direkodkan dengan nilai kerugian mencecah RM5.32 juta untuk tempoh sama.

Rentetan isu ini, Mustafa menasihati orang ramai sentiasa waspada dengan panggilan daripada orang tidak dikenali dan menyamar sebagai pihak-pihak tertentu.

Baca lain  Graduan politeknik peneraju ke arah Revolusi Industri 4.0

“Masyarakat diingatkan supaya tidak panik dan tidak mudah percaya dengan panggilan daripada individu tidak dikenali.

“Orang ramai juga tidak perlu takut walaupun diasak atau ditakut-takutkan oleh pemanggil tersebut,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak melayani panggilan yang meragukan serta tidak memberikan maklumat sulit kepada mana-mana individu melalui telefon.

Bagi orang ramai yang mempunyai kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu, maklumat boleh disalurkan melalui WhatsApp atau SMS ke talian info JSJK di 013-2111222.

Orang ramai juga boleh menghubungi Bank Negara Malaysia (BNM) di talian 1-300-88-5465 dan BNM Kuching di 082-224200 atau e-mel di bnmtelelink@bnm. gov.my.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

28 Mei 2023

Berita Terbaru