Jangan mudah termakan hasutan

AMERIKA Syarikat (AS) memang peneraju dunia tentang kebebasan bersuara, khususnya kebebasan media.
Negara ini memaktubkan dalam pindaan pertama perlembagaan yang menjamin hak kebebasan bersuara rakyatnya dan kebebasan akhbarnya.
Pindaan ini bererti Kongres negara itu tidak dibenarkan menggubal sebarang undang-undang yang mengekang kedua-dua bentuk kebebasan ini. Kejadian rusuhan oleh penyokong Presiden Donald Trump di Capital Hill Rabu lalu menjadi sempadan bagi menguji kebebasan bersuara di negara itu.
Dua media sosial, Twitter dan Facebook bertindak menggantung akaun peribadi Presiden Amerika Syarikat itu.
Penggantungan ini bererti Trump tidak lagi dapat menggunakan media sosial untuk menghasut penyokong merusuh.
Penyokong Trump yang didorong oleh hasutan beliau telah merempuh masuk pekarangan bangunan Kongres yang sedang bersidang untuk mengesahkan undian elektoral.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Naib Presiden, Mike Pence. Selepas bangunan Kongres dikuasai semula dan perusuh dikeluarkan, persidangan itu diteruskan semula dan mengesahkan kemenangan calon Demokrat, Joe Biden dan Senator Kamala D. Harris sebagai Presiden dan Naib Presiden Amerika Syarikat.
Sebaik sahaja pengisytiharan ini dibuat, Presiden Trump yang sebelum ini lantang berkata kepada para penyokongnya bahawa beliau tidak akan mengaku kalah dan mengulangi dakwaan bahawa penipuan semasa pilihan raya Presiden berlaku, akhirnya memberi jaminan bahawa pemindahan kuasa akan berlaku dengan aman pada 20 Januari ini.
Twitter menggantung akaun peribadi Trump, @realDonaldTrump, kerana dikatakan melanggar peraturan Twitter.
Peraturan Twitter amat jelas melarang para pengguna media sosial itu membuat sebarang ciapan yang menggalakkan sebarang bentuk keganasan dan menggalakkan hasutan.
Ertinya, pemegang akaun Twitter bukan sahaja tidak dibenarkan menghasut keganasan tetapi kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak bagi mereka yang memegang akaun media sosial ini.
Selepas kekalahan dalam pilihan raya Presiden 2020 kepada Joseph Robinette Biden Jr., Trump yang tidak mahu mengaku kalah, berterusan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas mengatakan penipuan dan salah laku berlaku semasa pengiraan undi.
Dalam kenyataannya, Twitter menyebut bahawa “selepas meneliti ciapan terkini @realDonaldTrump dan konteksnya, kami mengambil keputusan menggantung akaun tersebut untuk mengelakkan sebarang bentuk hasutan keganasan diteruskan.
“Meneliti semula konteks kejadian minggu lalu, kami telah memaklumkan pemegang akaun bahawa sebarang pelanggaran tambahan kepada Peraturan Twitter akan mengakibatkan tindakan tegas diambil.”
Tindakan penggantungan diambil selepas ciapan Trump pada tengah hari Jumaat apabila beliau menyokong dan memuji keganasan yang dilakukan oleh penyokongnya di Capital Hill.
Ciapan yang memalukan itu berbunyi “Kesemua 75,000,000 patriot Amerika yang gagah mengundi saya, AMERIKA DIUTAMAKAN dan JADIKAN AMERIKA HEBAT SEMULA, dijamin akan mempunyai suara keramat yang berterusan sehingga ke masa depan.
Sebarang bentuk melekeh dan layanan tidak adil terhadap mereka (penyokong Trump) dalam bentuk atau rupa tidak akan dibenarkan.”
Ciapan kedua Trump menyatakan pendiriannya tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat. Ciapan itu berbunyi, “kepada semua yang bertanya, saya tidak akan hadir pada majlis angkat sumpah jawatan pada 20 Januari.”
Biden menyambut baik tindakan Trump tidak mahu hadir pada majlis itu.
Twitter menyifatkan tersirat dalam ciapan Trump ini ialah kemenangan Joe Biden tidak sah.
Media sosial itu juga akan memantau dan bertindak terhadap sebarang tindakan untuk memintas penggantungan dengan menggunakan akaun lain.
Namun, akaun kerajaan seperti @ POTUS dan @WhiteHouse tidak akan digantung, tetapi tindakan tetap diambil untuk menyekat penggunaannya. POTUS ialah akronim akaun Twitter “President of the United States.”
Kedua-dua akaun ini akan dipindahkan kepada Presiden Joe Biden setelah beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46 pada 20 Januari ini.
Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg pada Khamis turut mengumumkan bahawa media sosial itu menggantung akaun sosial Trump.
Beliau berkata, “kami percaya bahawa risiko terlalu besar jika Presiden (Trump) dibenarkan menggunakan perkhidmatan kami dalam tempoh terdekat ini.
Kami melanjutkan penggantungan akaun Facebook dan Instagram sekurang-kurangnya selama dua minggu sehingga selepas pemindahan kuasa disempurnakan dengan aman.”
Ini merupakan tindakan Facebook paling keras terhadap Trump sepanjang beliau menjawat jawatan Presiden Amerika Syarikat.
Sepanjang tempoh menjadi Presiden, media sosial itu mendakwa bahawa Trump telah berulang kali melakukan pembohongan, menyerang pengkritiknya dan menggalakkan retorik memecah belahkan.
Tindakan penggantungan walaupun melanggar peruntukan Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat, seperti yang dijangka telah disanjung oleh Senator Demokrat, Mark R. Warner yang berkata,
“Media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube sepatutnya mengambil tindakan ini dari dahulu lagi kerana Presiden Trump sering menggunakan media sosialnya untuk menggalakkan perselisihan dan keganasan.
Tindakan ini sebenarnya sudah terlalu lambat dan tidak memadai.”
Pengkritik turut mempersoalkan tindakan media sosial gergasi dengan mendakwa tindakan itu dilakukan demi kepentingan politik mereka.
Mantan Pengarah Komunikasi Hillary Clinton, Jennifer Palmieri berkata, “jangan mudah terpedaya dengan tindakan penggantungan ini, sebab gergasi media sosial memutuskan untuk mengekang pelakuan Trump pada hari sama mereka menyedari hakikat bahawa Demokrat akan mempengerusikan semua jawatankuasa yang mengawal selia operasi organisasi media sosial negara itu.”
Media AS diamanahkan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat serta menyiasat dan mendedahkan sebarang salah laku kerajaan.
Walaupun negara itu mempunyai undang-undang menghasut tetapi peruntukan ini terkandung dalam Akta Pengintipan negara itu. Presiden Trump sudah jelas menghasut penyokongnya agar tidak menerima keputusan pilihan raya Presiden.
Di Malaysia, kita mempunyai Akta Hasutan (1948) yang jelas menyatakan kesalahan kecenderungan menghasut.
Maknanya kecenderungan menghasut adalah kesalahan, apatah lagi menghasut seperti yang dilakukan Trump.
Datuk Seri Najib Razak pernah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan semasa menjadi Perdana Menteri tetapi tidak mengotakannya.
Tindakan beliau tidak memansuhkan akta ini telah dikritik hebat, khususnya ahli politik pembangkang.
Anehnya mengapa Pakatan Harapan yang menerajui Kerajaan Pusat selama dua tahun tidak pula menggunakan kuasa itu untuk memansuhkan Akta Hasutan?
• Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan.