Jangan mudah terpedaya

PENULARAN berita palsu masih belum reda.

Saban hari kita akan disuakan dengan maklumat yang tidak benar.

Yang menimbulkan masalah ialah berita palsu ini diedarkan melalui aplikasi media sosial.

Masih ada segelintir orang ramai yang mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang dihantar ke dalam telefon bimbit.

Kita sudah hampir ke penghujung tahun 2020.

Tahun yang penuh getir bukan sahaja bagi rakyat negara ini tetapi penduduk seluruh dunia.

Seolah-olah kepayahan ini tidak cukup, terdapat segelintir orang yang suka menyebarkan berita palsu.

Perbuatan ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai yang sudah pun kepayahan dengan wabak Covid-19.

Sepanjang tahun ini sehingga semalam, terdapat 597 maklumat dan berita palsu yang dilaporkan dalam laman sesawang Sebenar.my, yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Pada Mac dan April lalu mencatatkan masing-masing sejumlah 169 dan 168 berita palsu seperti yang dilaporkan dalam laman Sebenarnya.my.

Inilah bulan-bulan tertinggi penularan berita palsu berbanding dengan bulan-bulan lain.

Semakan laman Sebenarnya. my menunjukkan November mencatatkan sebanyak 15 berita palsu, Oktober sebanyak 25, September sebanyak 17, Ogos sebanyak 18, Julai sebanyak 23, Jun sebanyak 28, Mei sebanyak 52, Februari sebanyak 29 dan Januari sebanyak 40.

Sehingga semalam, 13 berita palsu untuk Disember. Berita palsu yang didedahkan termasuk aktiviti scam.

Mereka yang melakukan scam menyasarkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, umur dan pendapatan.

Tidak ada satu kelompok yang terlepas daripada penjenayah scam.

Kita harus berwaspada setiap masa, lebih-lebih lagi apabila menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.

Untuk melindungi diri, kita harus sedar bahawa scam itu benar-benar berlaku.

Baca dalam akhbar arus perdana, kita akan bersua dengan pelbagai scam yang dilakukan orang tertentu untuk “mencari” duit.

Mereka akan mengaku diri sebagai pegawai daripada agensi penguat kuasa sehinggalah kepada lembaga hasil dalam negeri.

Apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali, anda harus berada pada tahap kewaspadaan paling tinggi.

Jangan sesekali memberi nombor kad pengenalan anda kepada pemanggil yang tidak dikenali.

Dengan Internet, maklumat tentang diri kita mudah sahaja diperolehi.

Jangan alpa sehingga mendedahkan maklumat peribadi dalam talian.

Banyak maklumat kini berada di hujung jari, bukan sahaja untuk diri anda tetapi bagi sesiapa sahaja.

Anda akan menerima panggilan seolah-olah dari mesin.

Mesin itu akan membacakan kenyataan bahawa anda telah melakukan kesalahan atau peringatan terakhir bagi sesuatu tindakan mahkamah terhadap diri anda.

Selepas itu, mesin itu meminta anda menekan salah satu nombor pada kekunci telefon jika ingin bercakap dengan “pegawai”. “Pegawai” ini dengan nada serius akan bertanya, “bolehkah saya membantu anda?”

Setelah memberitahu “pegawai” ini tentang panggilan tadi, dia akan meminta nombor kad pengenalan anda.

Anda yang tidak mengesyaki apaapa memberikannya. Ini kesilapan pertama bagi kebanyakan orang.

Tidak sukar untuk penjenayah memeriksa nama dan butiran kita dengan wujudnya Internet.

Setelah memeriksa, “pegawai” tadi membaca nama dan meminta kita mengesahkannya.

Jika kita mengesahkannya, ini bermakna kita sudah termakan umpan mereka.

“Pegawai” ini akan memaklumkan terdapat kes melibatkan diri dan meminta kita mengambil kertas dan pen untuk mencatatkan nombor fail yang bakal diberikan oleh scammer.

“Pegawai” ini memaklumkan sekiranya ingin maklumat lanjut, panggilan itu akan disambung kepada “pegawai atasan” bagi maklumat lanjut.

Apabila disambung, “pegawai” ini pula meminta nombor fail yang diberikan tadi.

Sekiranya kita masih dalam talian, penjenayah sedar bahawa perangkap mereka sudah berjaya.

Nada suara scammers sungguh profesional sehingga anda tidak sedar bahawa anda sedang ditipu.

Apabila anda meminta butiran nama mereka yang bercakap, mereka memberikannya.

Yang pasti itu bukan nama mereka sebenar.

Anda tidak mempunyai sebarang cara untuk mengesahkan identiti orang dalam talian itu.

Jika anda bertanya kemungkinan panggilan ini satu scam, “pegawai” ini akan bertanya adakah kita pernah menerima panggilan scam?

“Pegawai” dengan tegas memaklumkan bahawa ini bukan panggilan scam dan siasatan mereka mendapati bahawa tiada kegiatan sedemikian.

Sekiranya anda termakan dengan pembohongan ini, anda sudah masuk perangkap.

Berwaspada.

Apa yang boleh anda lakukan?

Letakkan telefon serta-merta.

Jangan lagi bergayut di talian.

Panggilan itu sememangnya scam.

Jika anda tidak mematikan panggilan, mereka akan memberikan butiran kes yang kononnya sedang anda hadapi.

Sebaik sahaja anda matikan panggilan, mereka akan menelefon anda kembali dengan serta-merta.

Kali ini menggunakan nombor telefon lain. Jangan jawab.

Kalau anda membaca laman sesawang Sebenarnya.my, kita sudah dinasihatkan supaya berwaspada apabila menerima panggilan atau mesej dalam WhatsApp meminta nombor OTP atau TAC.

Laman Sebenarnya.my melaporkan “Taktik meminta nombor ‘One Time Passcode’ (OTP) atau ‘Transaction Authorisation Code’ (TAC) dengan alasan nombor telefon mangsa telah didaftarkan secara tidak sengaja dalam aplikasi tertentu adalah salah satu bentuk penipuan jenayah siber.

“Setelah mendapat nombor tersebut, sindiket jenayah akan menggodam maklumat perbankan milik mangsa seterusnya melakukan transaksi pemindahan wang ke akaun tertentu.

Anda dinasihatkan agar tidak berkongsi sebarang maklumat sensitif kepada individu yang tidak dikenali.” Berhati-hati dan berwaspada setiap masa apabila menggunakan media sosial.

Jangan mudah percaya dengan berita palsu sehingga menjadi mangsa scam.

Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan.

Suara Sarawak