SARATOK: Umat Islam di negeri ini perlu bersedia jika benar 1 Syawal pada 21 April seperti didakwa sesetengah pihak.
Adun Kalaka Mohamad Duri berkata, tidak perlu panik memandangkan masa untuk persediaan Aidilfitri begitu panjang.
“Saya percaya sepanjang Ramadan masyarakat sudah mula menyediakan sedikit demi sedikit persiapan menyambut Aidilfitri.
“Sungguhpun mengikut hisab (kalendar) ditetapkan 22 April adalah permulaan Syawal 1444 Hijrah, selebihnya kita menunggu pengumuman yang dibuat Penyimpan Mohor Besar RajaRaja sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan (pada petang Khamis) setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong mewakili Raja-Raja Melayu.
“Saya percaya kebimbangan umat Islam kali ini ekoran Aidilfitri mengejut seperti tahun lepas,” katanya ditanya selepas mengagihkan 350 bungkusan bubur lambuk bersama-sama Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Betong (PSKB) di pekarangan Masjid Jamek Saratok.
Jelasnya, masyarakat wajar membuat persiapan awal bagi mengelak sebarang kemungkinan. Terdahulu Mohamad memuji semangat ahli PSKB dalam membantu asnaf dan warga emas di Dun Kalaka.
“Mereka membuat pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuklah program memasak bubur lambuk dan ini sebenarnya membuktikan semangat bersedekah dan berkongsi rezeki masih subur dalam kalangan masyarakat hari ini.
“Alhamdulillah seperti kawasan lain, kita di Kalaka juga enggan ketinggalan untuk menggalakkan amalan bersedekah pada bulan yang mulia ini.
“Saya gembira melihat pelibatan para sukarelawan dan saya percaya ini akan menerapkan semangat bersedekah dan berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Penyelaras Sukarelawan Kebajikan Betong Dayang Norfitri Abang Sapini dan Timbalan Pengerusi PSKB Sapini Jalani turut hadir.