Trending

Jangan pinggirkan mana-mana kaum dalam peruntukan Belanjawan 2024

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Wellie Henry Majang

KUCHING: Gagasan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dayak Sarawak menyeru Kerajaan Perpaduan untuk tidak meminggirkan mana-mana kaum dalam agihan peruntukan dalam peruntukan Belanjawan 2024 kelak.

Wakil NGO tersebut, Wellie Henry Majang yang juga Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) berkata, peruntukan khas kepada semua kaum perlu diwujudkan secara adil dan saksama. 

Berdasarkan kepada perkara asas dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) katanya, ia adalah kesaksamaan pembangunan di antara Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah, dengan kepelbagaian bangsa juga mendapat perhatian dalam agihan belanjawan kerajaan persekutuan. 

“Kita perhatikan kepelbagaian bangsa juga mendapat perhatian dalam agihan belanjawan kerajaan Persekutuan dalam beberapa waktu yang lalu yang umum mengetahui, dana khas diperuntukkan kepada Orang Asli, India dan Cina.

“Namun, bagi kaum Dayak keadaannya amat mengecewakan, kewujudan kita bersama-sama dalam pembentukan Malaysia seolah-olah terus terpinggir dan tidak pernah ada dana peruntukan diagihkan kepada kaum Dayak di Sarawak.

“Kita juga tidak pernah membaca peruntukan dana khas bagi kaum Kadazan-Dusun-Murut-Rungus [KDMR] di Sabah.

“Ini bermaksud wujudnya ketidakseimbangan dari segi peruntukan agihan kepada kaum di Malaysia.

Kita tak boleh ada kaum yang ketinggalan dari segi agihan peruntukan, kerana ungkapan ‘kemakmuran bersama’ yang sentiasa disebut, perlu dinikmati oleh semua rakyat Malaysia meliputi Orang Asal Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perpaduan “Malaysia Madani” yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya menitikberatkan tentang aspek sosioekonomi, pendidikan dan Kebajikan masyarakat pribumi tersebut.

Jelasnya, penekanan ini harus diberikan kepada aspek pendidikan supaya generasi Orang Asal di Sarawak berupaya keluar daripada kepompong kemiskinan, sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.

“Kita Gagasan NGO Dayak Sarawak tidak mahu ada kaum yang ketinggalan dari segi agihan peruntukan.

“Kita menggesa agar kebajikan dan keperluan Orang Asal Sabah dan Sarawak menjadi antara fokus yang akan diteliti, dalam sesi libat urus belanjawan bersama-sama kementerian yang lain,” jelasnya.

Kenyataan ini dikeluarkan bersama oleh Timbalan Presiden DTTAS Ricky Sani; Presiden Kongres Kebangsaan Dayak (DNC) Paul Raja; Presiden Persatuan Iban Sarawak (PAIS) Samuel Suring; Penasihat Persatuan Terabai Menua Sarawak Wilfred Nissem; Presiden Persatuan Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) Romuald Siew; Presiden Persatuan Masyarakat Salako dan Rara Sarawak (PERASA) Robert Umping dan Presiden Persatuan Kebajikan Masyarakat Asal Engkilili, Skrang dan Lubok Antu (PELASAR) Gemong Batu.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru