Jangan putar belit demi politik

PUSA: Selain mengubah landskap pembangunan luar bandar, projek di bawah Transformasi Luar Bandar (RTP) sebenarnya memberikan manfaat kepada kontraktor bumiputera.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, ini termasuk kontraktor yang memiliki syarikat serendah Kelas F. “Justeru, secara tidak langsung ia memberikan manfaat kepada kontraktor kecil apabila kaedah pelaksanaannya dibuat secara cabut undi di peringkat bahagian di seluruh Sarawak.

“Kaedah pelaksanaan ini sebenarnya banyak mengangkat kontraktor bumiputera termasuk syarikat Kelas F yang baharu berjinakjinak dengan kerja awam,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB berkata demikian semasa meninjau cadangan tapak bagi membina gelanggang futsal baharu di Kampung Tuie, semalam. Beliau bagaimanapun berharap semua kontraktor yang diamanah untuk melaksanakan projek RTP agar memberikan sepenuh komitmen.

“Saya harap tiada ‘curi ayam’ ketika melaksanakan projek kerana rakyat mengharapkan yang terbaik. “Bersama-samalah kita mengambil tanggungjawab agar peruntukan kerajaan tidak menjadi sia-sia,” ujarnya.

Razi dalam pada itu menyifatkan kelompok pembangkang yang menabur fitnah bahawa peruntukan RTP disalah guna wakil rakyat sangat tidak berasas.

“Pembangkang sebenarnya tidak dapat menerima keberkesanan projek RTP di Sarawak sejak 2015 walaupun mereka turut mendapat manfaat daripada pelaksanaannya.

“Oleh kerana hati sukar menerima kebenaran, maka pelbagai isu berkaitan RTP timbul, lebih teruk ia diputarbelitkan untuk kepentingan politik mereka.

“Bagi saya, mereka perlu lebih matang dan sewajarnya tidak memutarbelitkan fakta kerana ia untuk pembangunan Sarawak khususnya luar bandar,” jelasnya.

Suara Sarawak