Jangan risau janji temu vaksinasi

KANOWIT: Penduduk luar bandar diingatkan supaya tidak bimbang tentang kemusykilan urusan janji temu mendapatkan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang bermula April ini.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, janji temu boleh dibuat melebihi 21 hari sekiranya mereka tidak dapat hadir pada hari ke21 selepas mendapatkan dos suntikan pertama.

Setakat ini, beliau berkata, vaksin yang digunakan oleh Malaysia hanya mempunyai dua dos suntikan dan belum ada lagi vaksin yang diluluskan untuk satu dos suntikan. “

Vaksin untuk satu kali suntikan memang ada dicipta iaitu vaksin keluaran Johnson & Johnson namun, ia masih belum diuji sepenuhnya dan masih dalam peringkat percubaan,” kata Ahli Parlimen Kanowit itu.

Beliau bercakap demikian ketika menghadiri Program Malaysia Prihatin yang diadakan di Dewan Serbaguna Machan di sini. Rentetan itu, Aaron menasihatkan penduduk luar bandar supaya segera memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah mahupun Bahagian masing-masing sekiranya tidak hadir untuk janji temu mendapatkan dos kedua vaksin pada hari ke-21.

Terdahulu, beliau mendapat saranan daripada ketua masyarakat setempat yang mahukan vaksin yang mempunyai satu dos sahaja agar tiada masalah keciciran dalam kalangan penduduk luar bandar untuk mendapatkan dos kedua.

Selain itu, mereka berkata, sekali suntikan dilihat akan memudahkan urusan khususnya individu yang berada di jauh pedalaman sekiranya terlepas temu janji.

“Sekiranya terdapat kes seperti ini, anda boleh memohon untuk disuntik kemudian. Beruruslah dengan pihak kesihatan ketika anda hadir untuk suntikan pertama.

Tiada masalah, janji temu anda boleh dibuat melebihi 21 hari jika anda memaklumkan kepada pihak kesihatan,” katanya. Mengambil contoh di United Kingdom, beliau menjelaskan, dos kedua di negara itu diberikan sehingga dua bulan selepas mendapat dos pertama.

Aaron berkata, vaksin yang digunakan oleh negara ini tidak semestinya tidak berkesan selepas 21 hari malah ia boleh sampai dua bulan selepas dos pertama kerana ia diiktiraf beberapa badan pertubuhan kesihatan dunia.

Beliau juga menggesa penduduk Kanowit mendaftarkan diri untuk program vaksinasi. Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan pampasan sehingga RM500,000 untuk individu yang mengalami kesan sampingan teruk setelah divaksin.

Suara Sarawak