Jangan risau walaupun kemek, tangki coklat JBALB tahan lasak, standard SIRIM, masih boleh digunakan

KUCHING : Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam satu kenyataan menjelaskan setiap tangki coklat yang disediakan telah mengikut standard piwaiaan SIRIM yang telah ditetapkan.

Pihak JBALB Sarawak menjelaskan perkara berkenaan ekoran dari tularnya foto tangki air
berwarna coklat di laman media sosial yang menunjukkan telah kemek sewaktu di terima oleh salah seorang penerima di Miri.

“Gambar tangki air PE yang kemek yang ditularkan di media sosial bukan menunjukkan kualiti yang kurang baik, sebaliknya keadaan tangki yang kemek tersebut akibat dari kaedah atau cara ia diletakkan semasa dibawa ke kawasan-kawasan luar bandar.

“Tangki coklat tersebut dihasilkan mengikut langkah kawalan kualiti yang ketat dan mematuhi piawaian MS1225 yang diperakui oleh SIRIM dan dibuat daripada food grade polyethylene (PE) resins, sangat fleksibel, ringan, tahan lasak, tahan lama dan tidak mudah rosak atau pecah,” jelas kenyataan tersebut.

JBALB Sarawak menambah ciri-ciri yang terdapat pada tangki air PE ini menjadikan ia sangat sesuai dan selamat untuk digunakan dan dibawa ke kawasan-kawasan luar bandar yang jauh, terpencil, dan mencabar dari segi logistiknya.

“Tangki air PE ini juga mempunyai 10 tahun jaminan daripada pengeluar, walaupun tangki ink
kemek ia tidak mengalami kerosakan untuk digunakan dan kembali ke bentuk silinder
biasa apabila diisi dengan air sepenuhnya.

“Pihak kami telah memberi peringatan kepada pihak yang membawa tangki ini untuk meletakkan dan membawa tangki air tersebut dengan cermat dan selamat serta dalam keadaan baik sebelum diserahkan kepada
penerima,” tegas JBALB Sarawak dalam kenyataan tersebut.