Jangan sentuh sensitiviti kaum

DEBAK: Anggota masyarakat diingatkan supaya sentiasa berfikiran positif serta tidak menyentuh sensitiviti kaum mahupun agama yang mampu mengganggu gugat keharmonian yang dinikmati sekian lama.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, masyarakat baik apa jua bangsa atau agama harus kembali kepada fitrah.

“Dulu masyarakat kita umpama isi dengan kuku antara satu sama lain sehingga mewujudkan hubungan yang terlalu rapat… sebab itu perkara biasa kalau kita dengar ada yang sanggup memberi anak, berkongsi tanah.

“Mungkin kita tidak dapat mengembalikan budaya masyarakat seumpama dahulu, tetapi sekurang-kurangnya kita di Sarawak yang hidup dalam kepelbagaian budaya harus mempertahankan keharmonian serta perpaduan,” katanya.

Beliau bercakap demikian pada Majlis Sambutan Gawai Raya 2019 Peringkat Dun Saribas yang berlangsung di Riveria Sport Centre, semalam.

UNTUK ALBUM … Razi, Robert serta tetamu bergambar kenangan pada Majlis Sambutan Gawai Raya 2019 Peringkat Dun Saribas yang berlangsung di Riveria Sport Centre, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

Jelasnya, paling penting untuk dijaga ialah sensitiviti kaum mahupun agama.

“Saya ambil contoh, kalau ada seseorang atau kelompok kecil kaum itu menghina kaum lain, sebenarnya ia tidak mencerminkan budaya sesuatu kaum itu tetapi lebih kepada kepentingan peribadi.

“Sebab itu saya mengajak warga Saribas khususnya dan Sarawak amnya untuk kita sama berfikir sedalam-dalamnya, berfikir secara positif agar isu kecil yang berlaku dalam masyarakat kita tidak membawa kepada sensitiviti.

“Kita takut disebabkan perkara kecil akan mengganggu gugat keharmonian Sarawak. Saya tidak mahu selepas 50 tahun, keharmonian Sarawak hancur disebabkan sikap prejudis dan sentimen yang tidak sesuai yang sengaja dimainkan,” ujarnya.

Razi melahirkan rasa yakin, masyarakat Saribas khususnya dan Sarawak amnya dapat bekerjasama dengan baik.

SIMBOLIK … Razi dan Robert membelah lemang sebagai gimik perasmian Majlis Sambutan Gawai Raya 2019 Peringkat Dun Saribas yang berlangsung di Riveria Sport Centre, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

“Bak kata Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dalam guraunya, ini Sarawak punya olang, bisi Melayu, bisi orang Cina, bisi orang Dayak, bisi orang Bidayuh, duduk sama, minum sama, makan sama, carik amoi pon sama.

“Tok Nan telah menunjukkan budaya sebenar yang diamalkan oleh orang Sarawak dan harus dikekal serta dipertahankan,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu menyelar individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial untuk menghasut, menabur fitnah, memperkecil serta memburuk-burukkan orang lain.

Razi menyifatkan pertemuan keluarga besar warga Saribas melalui penganjuran Majlis Sambutan Gawai Raya kali ini sebagai usaha menyemarakkan semangat perpaduan kaum.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat Vincent Entering dan hadir sama Timbalan Residen Bahagian Betong Abang Mohamed Abang Turkey, Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang, Pemangku KPD Betong ASP Noor Illham Hadeni, Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi, Penghulu Masyarakat Melayu Debak Abang Kifrawi Abang Rukaili dan Penghulu Masyarakat Iban Debak Kadam Ot serta kira-kira 2,000 penduduk sekitar.

MESRA RAKYAT … Razi bersalam dan beramah mesra dengan tetamu yang hadir memeriahkan Sambutan Gawai Raya tahun ini.

 

SELAMAT DATANG … Razi dan Robert disambut dengan persembahan silat oleh anak muda setempat.

Suara Sarawak