Jangan sentuh tiang elektrik tumbang

KUCHING: Orang ramai dinasihati kekal berada di dalam kereta, tidak menyentuh tiang elektrik yang jatuh, menjaga jarak sekurang-kurangnya 10 meter dari tempat kejadian dan tidak berlari atau berjalan di tempat kejadian ketika berhadapan insiden tiang elektrik tumbang.

Naib Presiden Peruncitan Sarawak Energy Yusri Safri berkata, orang ramai diminta lebih berhati-hati dengan kemudahan elektrik yang rosak akibat ribut petir kerana tiang elektrik yang jatuh mungkin masih mempunyai kuasa elektrik.

“Orang ramai diharapkan tidak mengalihkan tiang elektrik yang jatuh itu.

“Sebaliknya menunggu pasukan teknikal untuk mengeluar dan menggantikan tiang elektrik yang jatuh dengan selamat.

“Pastikan anda tidak menyentuh atau memandu ke kawasan tiang elektrik itu dan jauhkan jarak sekurang-kurangnya 10 meter dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurutnya, sesiapa yang menemui tiang elektrik atau kabel elektrik yang jatuh diminta segera memaklumkan kepada Sarawak Energy.

Pasukan teknikal boleh dihubungi setiap hari di talian 1300883111 atau melalui aplikasi mudah alih SEB Cares. Beliau menjelaskan, cuaca panas dan angin kencang juga menjadi cabaran Sarawak Energy untuk memulihkan bekalan elektrik yang rosak dengan selamat dan cepat.

“Elektrik dan air tidak boleh bercampur ketika melakukan pembaikan dan pemulihan dalam keadaan cuaca hujan, ia akan memakan masa yang lebih lama daripada biasa.

“Keselamatan adalah keutamaan kami dan memastikan keadaan di sekitarnya selamat sebelum kerja-kerja baik pulih dimulakan atau diteruskan,” katanya.

Tambahnya lagi, ribut yang berlaku di seluruh negeri baru-baru ini telah menyebabkan pasukan teknikal berhadapan dengan keadaan yang tidak selamat untuk bekerja.

“Setelah kerja pemulihan selesai dan sebelum saluran elektrik dapat diaktifkan semula, pasukan teknikal perlu melakukan rondaan sekali lagi untuk memastikan keselamatan bekalan elektrik itu.

“Ini termasuk memastikan tiang lain berada dalam keadaan teratur dan tiada tanda-tanda jatuh atau halangan lain sepanjang pemulihan,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat kes yang melibatkan kawasan luar bandar dengan kerja-kerja pemulihan bekalan hanya dapat diselesaikan pada hari berikutnya kerana hujan menyebabkan jalan berlumpur dan licin.

Di Saratok baru-baru ini, kerja penggalian oleh kontraktor pihak ketiga telah merosakkan kabel bawah tanah dan mengganggu bekalan elektrik ke beberapa kampung.

Bagaimanapun, kawasan berlumpur dan keadaan perjalanan yang tidak selamat menyebabkan kerja-kerja pembaikan ditangguhkan dan hanya diteruskan setelah keadaan selamat.

Sementara itu pada 12 Mei lalu, bekalan elektrik ke wilayah Tambirat Asajaya terganggu sekitar jam 1.00 pagi ketika angin kencang yang menumbangkan tiga tiang elektrik.

Ribut petir di kawasan itu menyebabkan kerja-kerja membaik pulih lewat dan hanya dapat dilakukan pada sebelah petang.

Suara Sarawak