Jangan tambah beban rakyat

PADAWAN: Kerajaan Sarawak tidak akan menaikkan kadar cukai pintu kerana tidak mahu menambah beban rakyat di negeri ini, kata Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang.

Adun Batu Kitang itu berkata, kadar cukai taksiran sedia ada memadai setelah disemak semula oleh mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Adenan Satem pada 2016.

Khere Chiang berkata, rakyat kini berhadapan pelbagai masalah berikutan kenaikan harga pelbagai jenis barangan kesan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Menurutnya, keadaan ekonomi negara yang kurang memuaskan ini berlaku sejak Pakatan Harapan memegang tampuk Kerajaan Persekutuan.

“Saya mendapat pengesahan daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian bahawa Sarawak tidak berhasrat untuk menaikkan kadar cukai pintu, kerana kita (Kerajaan Sarawak) tidak mahu rakyat menanggung beban.

“Sebelum ini Kerajaan Sarawak ketika dipimpin oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem bertindak mengurangkan kadar cukai pintu demi membantu rakyat.

Oleh yang demikian, tidak patut kadar itu dinaikkan semula,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bahawa cukai taksiran semua PBT seluruh negara akan disemak bermula tahun depan.

Menurut Zuraida, semakan dibuat selepas kementerian mendapati terdapat banyak PBT mengekalkan kadar cukai lama sejak puluhan tahun.

Khere Chiang berkata, kadar cukai taksiran di Sarawak di bawah pentadbiran Kerajaan Tempatan Sarawak. “Sarawak mempunyai atonomi kukuh untuk mengekalkannya,” katanya ketika menangguhkan Program Pembangunan Komuniti di dewan serba guna Kampung Simboh dekat sini, semalam.

Program sejak Jumaat lalu itu dianjurkan oleh MPP, JKKK, Kelab Pathfinder dan KRT Kampung Simboh. Pelbagai acara diadakan iaitu sukan, riadah dan ceramah serta pemeriksaan kesihatan percuma. Turut hadir Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Datuk Seri Ibrahim.