Jangan tertinggal anak di dalam kereta

KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha dilakukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menangani kes kematian kanak-kanak akibat tertinggal di dalam kereta oleh ibu bapa atau penjaga.

Timbalan Menterinya Datuk Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kementeriannya memandang serius mengenai kecuaian ibu bapa dan penjaga sehingga menyebabkan kecederaan atau lebih menyedihkan lagi yang membawa kehilangan nyawa.

“Selain hukum perundangan kanak-kanak, kita juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada ibu bapa, penjaga dan kanak-kanak agar bertanggungjawab dan sentiasa peka dengan risiko keselamatan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Putrajaya, kelmarin.

Rubiah bertanya mengenai tindakan konklusif kementerian untuk menangani kes kematian kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta.

Tambah Zailah, kementeriannya mengambil langkah advokasi dengan melaksanakan kerjasama bersama agensi berkaitan untuk menjalankan program kesedaran awam mengenai isu tersebut.

“Antaranya melalui Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (Peka), kursus praperkahwinan dan program ilmu kekeluargaan.

“Kementerian juga menerima banyak maklum balas dan cadangan ibu bapa serta masyarakat yang dibincangkan bersama-sama agensi berkaitan termasuk jabatan keselamatan jalan raya dan institut penyelidikan keselamatan jalan raya,” jelasnya.

Ini termasuk bayi tidak boleh diletakkan di tempat duduk di belakang kerusi pemandu kerana ia merupakan titik buta, meletakkan barang penting seperti beg tangan di bahagian belakang sama ada di atas kerusi atau di ruang kaki penumpang.

Beliau menjelaskan, masyarakat perlu memainkan peranan dan melaporkan segera jika melihat anak tertinggal di dalam kereta tanpa pengawasan orang dewasa.

“Kita sangat memahami perasaan ibu bapa apabila berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Justeru, kementerian menghulurkan perkhidmatan kaunseling kepada ibu bapa dan kami menghargai inisiatif beberapa syarikat pengeluar kenderaan yang turut cakna mengenai insiden sebegini.

“Ini termasuk menyediakan kenderaan dengan sistem penggera keselamatan kanak-kanak sebagai peringatan kepada pengguna aplikasi untuk tidak meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan contohnya aplikasi navigasi Waze,” ujarnya.

Beliau menambah, kementeriannya akan terus berusaha untuk mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Pengangkutan, Kementerian Jalan Raya dan agensi yang lain untuk memastikan advokasi ini dapat memberi kesan yang lebih dalam memberi kesedaran kepada ibu bapa.

Suara Sarawak