Jangan timbulkan isu persekolahan

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa orang ramai agar tidak menimbulkan isu persekolahan, bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan guru.

Presidennya Ahmad Malie berkata, setiap pandangan yang dikongsi akan dihormati, namun ia tidak perlu diulas.

“Biarlah autoriti pendidikan sendiri, sama ada kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Menteri Kanan Pendidikan yang mengumumkan isu persekolahan ini.

“Ia bagi memastikan warga guru menerima maklumat daripada sumber yang sama dan tepat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, isu tersebut perlu dijelaskan sedemikian kerana institusi pendidikan adalah besar dan melibatkan murid yang ramai, berbanding institusi atau agensi kerajaan yang lain.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa tindakan tersebut untuk memastikan keselamatan murid-murid terjamin meskipun beberapa prosedur operasi standard (SOP) disediakan sebagai garis panduan.

“Tindakan dan kelakuan murid- murid sukar untuk diramal. Oleh itu, kita perlukan penilaian dan perancangan yang terbaik sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan hal ini.

“KGBS ingin menegaskan hanya Kementerian Pendidikan akan menentukan bila sesi persekolahan akan dibuka semula,” tambahnya lagi.