Jangan tuduh guru makan gaji buta

DALAM melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di negara ini, kita sering mendengar tohmahan dan komen daripada masyarakat kononnya guru kurang bekerja dan makan gaji buta sahaja.
Tuduhan ini sememangnya berat untuk ditelan kerana tuduhan yang mempertikaikan profesionalisme pendidik itu pastinya mengguris hati guru yang selama ini mengajar para pelajar untuk mendapatkan ilmu atau pendidikan dengan sebaiknya.
Jika kita merujuk semula Kamus Dewan, gaji buta membawa maksud gaji yang diterima tanpa bekerja.
Oleh itu, tiada istilah yang boleh dikaitkan dengan guru makan gaji buta apabila mereka telah menyediakan pelbagai bahan semasa PdPR dilaksanakan.
Hakikatnya juga, tidak ada istilah makan gaji buta bagi guru yang kini berhadapan cabaran baharu apabila terpaksa melaksanakan tanggungjawab mendidik melalui sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah.
Walaupun kelas ditutup, kuliah tidak ada, tidak bermakna guru makan dan tidur semata-mata, kita tidak tahu ada antara mereka yang bersengkang mata dan bertugas seperti biasa terutama mempersiapkan nota semasa PKP atau PKPB untuk diedarkan kepada pelajar.
Sepanjang PdPR dilaksanakan, ramai guru sanggup berkorban demi memastikan pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran, malah apabila kaedah itu dilaksanakan hampir kesemua kos berkaitan turut ditanggung oleh guru sendiri namun warga pendidik ini sering dilemparkan dengan pelbagai tuduhan seperti makan gaji buta sedangkan mereka sudah cuba melakukan yang terbaik.
Dalam pada itu, penulis juga beranggapan masyarakat turut memberi sokongan kepada pihak guru kerana apabila guru perlu berada di rumah dan mengajar dari rumah, kerja mereka menjadi lebih rumit dan lebih sukar.
Kita tahu terdapat guru menjadi lebih sibuk di rumah kerana mereka bukan sahaja fokus kepada anak didik di luar tetapi perlu mengurus anak mereka yang juga belajar di rumah.
Malah, guru bertungkus-lumus menyediakan bahan pembelajaran dalam talian dan ini mengambil masa yang lama.
Terdapat guru yang bekerja melebihi waktu kerja di sekolah kerana begitu banyak persediaan yang perlu dibuat.
Kita juga tidak tahu terdapat guru yang hampir bersara dan tidak mahir dalam dunia digital.
Namun, meniti hari untuk menuju persaraannya, guru sanggup terkial-kial belajar mengenai digital agar pelajarnya dapat memanfaatkan ilmu yang ingin beliau sampaikan dan memastikan para pelajarnya dapat ilmu yang sepatutnya.
Mengakui pembelajaran secara bersemuka lebih memberikan impak dan mencapai objektif jika dibandingkan dengan PdPR, bagi penulis dalam keadaan sekarang, semua pihak harus menerima kenyataan bahawa ia satu-satunya pilihan yang ada.
Kita sebagai masyarakat, perlu ada sikap saling menghormati dan memahami.
Kita tidak boleh membuat sebarang komen yang boleh menyakiti hati seseorang lebih-lebih lagi warga pendidik yang memberi ilmu kepada anak-anak kita.
Dalam menjalani PKP atau PKPB susulan pandemik Covid-19 ini, banyak sekolah yang diarahkan untuk tutup demi keselamatan pelajar, namun terdapat ibu bapa mempertikaikan tugas guru dan melemparkan tuduhan bahawa guru makan gaji buta.
Namun, jika sesi persekolahan dibuka pada pandemik ini pula, terdapat ibu bapa yang juga meleter dan memberitahu keselamatan anak harus diutamakan, dan jika berlaku perkara yang tidak diingini susulan pandemik ini, siapa yang bertanggungjawab?
Ada masyarakat tidak melalui apa tugasan guru dan menyalahkan guru sahaja.
Dalam melakasanakan tugas sebagai guru, sudah pasti kita menginginkan yang terbaik untuk anak-anak dan mengajar mereka supaya pembelajaran tersebut senang dan cepat difahami Dalam perkembangan sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan manual PdPR meliputi pendekatan secara dalam talian dan luar talian sama ada menggunakan modul pembelajaran atau pembelajaran berasaskan projek, selain sentiasa berusaha memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran.
Justeru, kita tahu ada guru yang mengajar melalui YouTube dan ada pula guru yang mengajar melalui video yang direka sendiri.
Namun, perkara ini dapat kecaman dari pihak ibu bapa bahawa guru ini hanya mencari jalan mudah.
Sebaliknya, ia juga menjadi masalah kepada para ibu bapa apabila guru mengadakan kelas secara Google Meet atau melalui zoom dan terdapat ibu bapa yang menyatakan bahawa mereka bekerja dan anak-anak tidak mempunyai telefon di rumah.
Tindakan ibu bapa sebegini yang sering menyalahkan guru membuatkan para guru dilabel sebagai makan gaji buta sahaja.
Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu tahu banyak pelajar yang mempunyai masalah kestabilan internet, kebolehgunaan peranti mengajar seperti komputer, telefon, tablet, ruang pembelajaran murid, sokongan ibu bapa dan keprihatinan kepimpinan sekolah. Selaras keperluan norma baharu yang banyak bergantung kepada penggunaan alat digital, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet yang berakhir pada 31 Disember tahun lalu dilanjutkan setahun lagi sehingga 31 Disember ini.
Ini serba sedikit meringankan beban masyarakat yang mempunyai masalah berkaitan gadjet yang mampu mengganggu pembelajaran mereka.
Oleh itu, sebagai masyarakat kita perlu mempunyai adab dan kita harus mengubah sikap kita yang hanya menunding jari terhadap orang lain. Situasi pandemik ini kita dapat lalui bersama dengan saling berbincang dan tolak ansur antara semua pihak serta kita harus menghentikan provokasi dan komen yang tidak membina di media sosial dan ada baiknya kita berbincang dengan guru dan gembleng tenaga bersama mereka tentang kebaikan yang akan dicapai dalam pendidikan mereka.
Dalam pada itu, bagi pihak guru pula, mereka juga perlu membimbing para pelajar ini agar tuduhan yang tidak membina seperti ini dapat dielakkan.
Justeru itu, memberi maklum balas kepada para pelajar setelah mereka menyiapkan kerja membolehkan pelajar mengetahui kekuatan dan kelemahan hasil kerja mereka.
Penulis percaya misi menjadi pendidik berwibawa adalah satu matlamat jangka panjang dalam membawa anak-anak ini hingga ke menara gading dan cabaran untuk menjadi pendidik sebegini perlu mempunyai kesabaran yang tinggi.
Bagi penulis, kita perlu menerapkan nilai murni dan sikap hormat-menghormati kita terhadap warga pendidik ini kerana sebagai seorang yang pernah bergelar pelajar suatu masa dulu, guru ini yang pernah mendidik dan menjadikan kita insan yang berguna pada hari ini.

Suara Sarawak