Jangan wujudkan kapitalis – Jugah

LUBOK ANTU: Penghulu, Tuai Rumah termasuk kaunselor perlu sentiasa berkomunikasi dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk meluahkan denyut nadi rakyat di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang berkata peranan pemimpin kerajaan persekutuan serta kerjasama dan sokongan ketua masyarakat sangat penting sebagai jambatan penghubung penduduk dengan kerajaan agar segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kita tidak mahu ‘kapitalis’ wujud, ini adalah jalan terbaik membolehkan segala projek pembangunan disalurkan oleh kerajaan memberi impak peningkatan taraf hidup kepada rakyat secara inklusif dan menyeluruh,” katanya sempena Majlis Pra-Gawai Rumah Nyambong, Serembai di sini semalam.

Jugah turut menegaskan agar pemimpin masyarakat perlu turun padang bersama-sama Ahli Parlimen di samping sering mengadakan perbincangan dengan masyarakat di kawasan masing-masing.

Katanya adalah menjadi tanggungjawab ketua masyarakat memastikan isu dan kebajikan rakyat dipelihara termasuk membantu kerajaan mengekalkan perpaduan sedia ada.

Jugah beramah mesra dengan penduduk yang hadir pada Majlis Pra Gawai Rumah Nyambong, Serembai di sini semalam.

Beliau menambah pemimpin masyarakat juga perlu seiring dengan pelaksanaan dasar kerajaan serta memahami situasi semasa untuk memastikan setiap perancangan kerajaan mendapat kerjasama agar segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Penduduk di kawasan luar bandar tidak harus berasa terpinggir kerana kerajaan PH sentiasa berusaha memberi akses terbaik bagi membantu rakyat melalui apa sahaja cara dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

“Ini jelas membuktikan yang kerajaan PH sememangnya benar-benar komited membantu penduduk di negeri ini khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Jugah turut memanfaatkan perayaan Hari Gawai ini sebagai medium untuk mengukuhkan hubungan dengan komuniti.

Beliau menyifatkan perayaan Hari Gawai adalah paling siginifikan untuknya mendengar denyut nadi rakyat di Parlimen Lubok Antu.

“Saya mengalu-alukan kehadiran ketua masyarakat ke majlis pemimpin PH, kita gunakan kesempatan ini berbincang dan bertukar-tukar fikiran,” katanya.

Sempena Majlis Pra-Gawai Rumah Nyambong, Serembai, Jugah memberikan peruntukan sebanyak RM80,000 untuk menaiktaraf dan membangunkan rumah panjang berkenaan.

Beliau turut memberikan sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan dan Kebajikan (JKKK) Rumah Nyambong, RM5,000 untuk Biro Wanita serta RM10,000 masing-masing untuk tujuh rumah panjang lain di kawasan sekitar Serembai.

Jugah (berdiri tengah) merakamkan gambar kenangan dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Pra Gawai Rumah Nyambong, Serembai di sini semalam.