
SETIAP kali keluar dari rumah untuk ke tempat kerja atau urusan lain, apakah barang yang wajib anda bawa selain daripada dompet dan telefon bimbit?
Hari ini pelitup muka boleh diibaratkan seperti sahabat baik setiap orang kerana ia menjadi salah satu keperluan wajib untuk dibawa bersama apabila keluar dari rumah.
Sebelum ini, pemakaian pelitup muka ini sangat sinonim dengan mereka yang bekerja dalam sektor kesihatan.
Tetapi kini, pelitup muka digunakan oleh semua lapisan usia demi melindungi saluran pernafasan daripada dimasuki virus Covid-19 melalui hidung dan mulut.
Fenomena pemakaian pelitup muka ini bermula sejak dunia diserang oleh virus Covid-19 pada dua tahun lalu.
Akibatnya seluruh masyarakat harus menerima kenyataan bahawa kita tiada pilihan selain hidup bersama virus itu.
Sehingga kini, pakar kesihatan masih belum menjumpai penawar yang benar-benar berkesan untuk melawan virus berkenaan.
Apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu, banyak perkara telah dilonggarkan namun, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih wajib dipatuhi setiap individu ketika itu.
Sebulan kemudian pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka bagaimanapun digalakkan di luar bangunan terutama di kawasan sesak.
Manakala pemakaian pelitup muka apabila berada di dalam bangunan, termasuk pusat membeli-belah dan pengangkutan awam termasuk e-panggilan masih diwajibkan. Mengapa?
Sebabnya kerana virus Covid-19 boleh merebak melalui titisan cecair dalam bentuk partikel yang besar atau kecil.
Tambahan pula partikel yang kecil itu boleh kekal di udara untuk tempoh lebih lama dan bergerak lebih jauh dari satu hingga dua meter bergantung kepada aliran udara dan keadaan sekeliling.
Nah, pelitup muka merupakan antara senjata penting melindungi diri anda dan orang lain risiko dijangkiti virus itu selain vaksin.
Meskipun tempat terbuka kurang risiko jangkitan berbanding tempat tertutup kerana aliran udara sentiasa bergerak tetapi jika sesak dengan orang ramai, risiko jangkitan juga adalah tinggi.
Tahukan anda, dalam tempoh tiga bulan ini beberapa negara telah mula menarik balik arahan pemakaian pelitup muka di tempat awam?
Antara negara yang terawal memansuhkan peraturan tersebut adalah Itali dan Republik Ireland.
Itali menarik balik arah mewajibkan pemakaian pelitup muka di luar rumah pada 11 Februari lalu. Kerajaannya memutuskan untuk menarik balik arahan tersebut selepas penurunan kes Covid-19 di negara itu dan peningkatan jumlah individu yang divaksin sepenuhnya.
Bagaimanapun, pelitup muka di tempat awam yang tertutup dan ketika menaiki pengangkutan awam masih wajib.
Di Republik Ireland pula, pada 28 Februari, kerajaannya hanya memansuhkan peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka di beberapa tempat awam.
Peraturan itu digantikan dengan nasihat kesihatan awam yang menetapkan rakyat perlu memakai pelitup muka ketika berada di dalam pengangkutan awam dan di pusat kesihatan.
Bagaimana pula dengan negara jiran kita Singapura? Kota singa ini telah mengikut langkah dua negara maju itu apabila bermula 29 Mac.
Orang ramai tidak diwajibkan lagi memakai pelitup muka ketika berada di luar bangunan. Meskipun demikian Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata, pemakaian tersebut masih diwajibkan ketika berada di dalam bangunan.
Terbaharu, Kerajaan Australia dilaporkan memansuhkan peraturan pemakaian pelitup muka di lapangan terbang. Bagaimanapun, ia masih perlu ketika individu itu berada di dalam pesawat.
Pengembara juga masih perlu memakai pelitup muka di dalam pesawat untuk mencegah penularan Covid-19. Melihat kepada senario ini, kebanyakan negara mula melonggarkan pemakaian pelitup muka di sesetengah tempat sahaja.
Keadaan sebaliknya di Amerika Syarikat apabila presidennya Joe Biden mengumumkan keputusan menarik balik peraturan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup pada 14 Mei lalu.
Ini bermakna rakyatnya tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam mahupun tertutup di negara tersebut.
Oleh itu, adakah Malaysia khususnya Sarawak sudah bersedia untuk memansuhkan sepenuhnya pemakaian pelitup muka seperti yang dilakukan oleh AS pada masa depan memandangkan jumlah vaksinasi menghampiri seratus peratus dan jumlah kes harian menunjukkan penurunan yang signifikan?
Kita harus ingat, pemakaian pelitup muka di sesetengah tempat di negara kita sudah pun dilonggarkan.
Seperti yang dinyatakan oleh Khairy Jamaluddin pada 1 Mei lalu, pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib di luar bangunan.
Namun rata-rata orang ramai masih memilih mengamalkan penggunaannya sehingga ia menjadi norma baharu.
Jika tidak pakai atau terlupa sekali pun, seseorang itu pasti berasa janggal.
Anda akan terus menggunakan pelitup muka meskipun arahan itu dimansuhkan kelak?