ARTIKEL

Gambar Hiasan

Jangka hayat, kematian semakin dekat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ADAKAH anda bersedia untuk mati?

Adakah anda bersedia untuk meninggalkan legasi? Sekurang-kurangnya mendidik atau mempersiapkan pengganti untuk syarikat, pertubuhan dan sebagainya, termasuk dalam urusan pentadbiran.

Sebuah negara yang pengemudinya mati tanpa mempersiapkan pemimpin pelapis, sudah pasti berpotensi untuk berada dalam situasi anarki dan huru-hara.

Pemimpin pelapis di pelbagai peringkat amat perlu, jika sesebuah syarikat, pertubuhan mahupun pentadbiran kerajaan mencipta pelan jangka panjang untuk kemajuan.

Jika mereka berwawasan tinggi, seperti Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang gigih mempersiapkan rakyat untuk masa depan, termasuk membuka pintu pelbagai teknologi dan impian baharu untuk rakyatnya, beliau juga perlu mempersiapkan pemimpin pelapis yang mantap — bukan dalam kalangan generasinya, tetapi mampu meneruskan agenda besar dan pandangan jauhnya ketika beliau tidak lagi dalam arus perdana kepimpinan.

Kerja yang dilakukan oleh Ketua Eksekutif Sarawak itu cukup besar, kerana beliau mengubah landskap dan persepsi dunia terhadap Sarawak biarpun usianya kini mencecah 75 tahun.

Realitinya, melepasi usia persaraan 60 tahun, bermakna tahap kesihatan setiap individu akan mula berhadapan dengan risiko.

Pelbagai risiko.

Dalam minggu ini sahaja, penulis mendapat maklumat tentang kematian ramai individu yang berusia di bawah 55 tahun.

Dan ada tanah perkuburan yang tidak berhenti menggali sekurang-kurangnya sepuluh liang lahad sehari, kerana berlaku kematian berterusan, yang proses pengebumiannya berlangsung hingga malam.

Secara purata, ketika ini jangka hayat individu di Malaysia, seperti yang direkod pada 2022 dianggarkan sekitar 76.58 tahun, ketiga tertinggi di Asia Tenggara.

Berdasarkan carta yang dikongsi Bahagian Populasi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jangka hayat penduduk Singapura berada di tangga teratas di Asia Tenggara iaitu sekitar 84.39 tahun.

Ia diikuti rakyat Thailand di kedudukan kedua iaitu puratanya 80.13 tahun.

Berada di kedudukan keempat pula ialah rakyat Vietnam (74.90), Brunei (74.61), Filipina (72.40) dan Kemboja (71.60).

Negara Indonesia pula berada di kedudukan keempat ke bawah iaitu jangka hayat penduduknya sekitar 71.24 tahun, diikuti Timor Leste (69.65) dan Laos (69.54).

Myanmar berada pada kedudukan paling bawah iaitu purata jangka hayat penduduknya sekitar 67.66 tahun.

Adakah ia membayangkan betapa masyarakat Asia Tenggara semakin menua?

Worldometer.info semalam (masa artikel ini ditulis), merakamkan populasi Malaysia adalah seramai 34,597,138 orang.

Jumlah ini melonjak begitu tinggi berbanding sekitar 5.9 juta orang pada 1955, sebelum Tanah Melayu ditubuhkan, dan 8.5 juta orang sewaktu Malaysia diisytiharkan.

Kadar pertumbuhan penduduk kita pula menyusut kepada 1.06 peratus pada empat bulan pertama tahun ini berbanding 3.07 peratus pada 1988.

Berbanding maklumat di atas yang direkodkan pada 2022, maklumat yang diterbitkan setahun kemudian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan purata jangka hayat di Malaysia adalah 74.8 tahun; dengan lelaki sekitar 72.5 tahun dan perempuan 77.4 tahun.

Bagi etnik Melayu, jangka hayat purata adalah 73.8 tahun, manakala Cina, 77 tahun sementara India 71.4 tahun. Bumiputera lain dianggarkan berusia purata 73.5 tahun.

Menariknya, penduduk bukan warganegara memiliki jangka hayat agak tinggi iaitu 81.1 tahun, dengan lelaki 80.7 tahun dan perempuan 81.7 tahun.

Bersandarkan maklumat DOSM tersebut juga, purata jangka hayat penduduk Sarawak ialah 74.9 tahun; kelima tertinggi berbanding Selangor, 78.1 tahun.

Sabah di kedudukan kesembilan dengan 74.1 tahun manakala Perlis, 71.4 tahun dan Terengganu 71.2 tahun.

Purata jangka hayat lelaki di Sarawak ialah 72.6 tahun, manakala perempuan 77.6 tahun.

Sementara itu, sebanyak 439,744 kelahiran hidup direkodkan di seluruh negara pada 2021 iaitu kadar 13.5 kelahiran untuk setiap 1000 penduduk, manakala kematian pada tahun tersebut adalah sekitar 224,569 orang atau 6.9 kematian bagi setiap 1000 penduduk.

Namun angka ini yang melonjak tinggi berbanding 166,970 pada 2020 mungkin disebabkan COVID-19.

Apakah maksudnya, kita kini sedang berada di ambang fasa rakyat menua? Adakah kita sudah cukup matang untuk menghadapinya?

Ketua Makmal Gerontologi Sosial, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) di Universiti Putra Malaysia, Dr Mohammad Mujaheed Hassan berkata, Malaysia masih belum bersedia.

Malaysia masih ketinggalan dari segi kemudahan infrastruktur bagi menampung keperluan rakyat dalam pelbagai kumpulan umur termasuk warga emas.

Untuk bersedia ke fasa ini (negara tua) katanya, pelbagai langkah perlu dilaksanakan dengan fokus utama ialah kesejahteraan warga emas.

Langkah-langkah ini termasuk meningkatkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur penjagaan kesihatan untuk warga emas.

Ini akan melibatkan pembinaan hospital, klinik dan kemudahan penjagaan warga emas yang dilengkapi untuk menyediakan penjagaan khusus warga emas.

Infrastruktur ini bukan sahaja perlu ditumpukan di kawasan bandar tetapi juga diperluas ke kawasan luar bandar bagi memastikan akses yang saksama kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Pelaburan itu juga perlu mengambil kira penambahbaikan kepada kemudahan penjagaan kesihatan sedia ada, termasuk menyediakan tanjakan untuk kerusi roda dan kemudahan mesra pesakit geriatrik lain.

Populasi warga emas di Malaysia dilaporkan berkembang pada kadar yang lebih cepat berbanding 30 tahun yang lalu.

Dan DOSM menjangkakan Malaysia akan mencapai status negara tua lebih awal daripada yang diramalkan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dipetik sebagai berkata , sepuluh tahun lalu, negara mengalami purata 17.2 kelahiran hidup dan 4.6 kematian bagi setiap 1,000 penduduk, dengan nisbah 3.7 kelahiran bagi setiap kematian.

Penurunan nisbah itu kini memberi kesan kepada struktur penduduk Malaysia.

Ia menyebabkan Malaysia beralih kepada status negara tua lebih awal daripada yang diunjurkan sebelum ini.

Negara tua juga bergantung kepada persekitaran kesihatan serta kemudahan yang semakin selesa.

Dengan usaha gigih memodenkan klinik luar bandar, termasuk melakukan naik taraf kepada klinik yang lengkap dengan teknologi, serta kemudahan kediaman yang kondusif, serta prasarana yang lengkap ia mengarah kepada kehidupan sejahtera yang turut menyumbang kepada kewujudan data warga tua yang besar bermula tiga tahun akan datang.

Secara teorinya, seharusnya, semakin maju sesebuah negara, maka jangka hayatnya semakin bertambah.

Tetapi awas, ada beberapa perkara yang berlaku pada negara maju dan hebat, boleh memendekkan umur penduduknya.

Dan ini disumbangkan oleh sisi yang lain, seperti tekanan, komunikasi yang gagal serta pencemaran.

Juga masalah keracunan gaya hidup. Yang pasti, usia yang semakin lanjut memberi mesej kepada kita bahawa kita hanya ada masa yang singkat untuk melakukan semua benda.

Adakah kita mahu menggunakannya untuk membawa kemajuan kepada diri, keluarga dan bangsa, atau sibuk untuk menjahanamkan orang lain, membisikkan kata nista, sengketa dan paling jijik, dusta?

Atau menyebarkan kebencian.

Masa itu ada di tangan anda sendiri.

Tiada yang dapat menepis masa untuk menutup mata, walaupun sesaat yang lalu anda begitu cergas berpesta.

Bak kata Abang Johari, baruk marek Jumaat, ari tok Jumaat agik.

Baru ari marek raya, ari tok raya agik. Masa berlalu begitu pantas, dan ramai dalam kalangan kita yang tidak sedar, rupanya sudah menginjak status veteran dan warga emas.

  • Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

BERITA LAIN

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

Sik nyaman jangan makan

DI Sarawak selain agama, budaya dan pakaian – makanan merupakan benda paling sensitif jika orang luar menghina. Bukan orang Sarawak tidak menerima kekurangan, tetapi menghina

BERITA TERBARU

Sarawak tanam 34 juta pokok

Salah satu punca konflik meningkat ialah kehilangan kawasan hutan dan ia dikaitkan dengan penularan penyakit zoonotik — penyakit daripada haiwan kepada manusia. Faktor lain seperti