Janji tiga bintang baharu Kuching City

TIGA bintang baharu menaruh harapan tinggi untuk meletakkan Kuching City FC (KCFC) sebagai pasukan hebat dalam Liga Malaysia 2021 yang dijadual bermula pada 26 Februari depan.
Tiga pemain tersebut ialah, Aylton Ferreira, 32, dari Brazil, Mohd. Rafiq Shah Mohd. Zain, 26, dari Selangor dan Muhammad Badrul Amin Hamid, 22, dari Terengganu.
Aylton yang berketinggian “6 kaki 1 inci” akan menerajui benteng, selaku bek tengah, manakala Rafiq akan bertindak sebagai bek kanan, atau sayap kiri. Badrul pula merupakan pemain sayap penggempur bahagian kiri. Beliau turut mampu beraksi di sayap kanan.
Menurut ketua jurulatih KCFC, Irfan Bakti Abu Salim, ketiga-tiga pemain ini mampu memberi kekuatan tambahan, terutama di posisi pertahanan.
Rafiq merupakan pemain yang jukup berpengalaman kerana pernah menyertai Sime Darby dan Felda United dalam saingan Liga Super 2014 hingga 2017. Selepas itu, beliau menyertai Selangor United dan UKM FC dalam saingan Liga Perdana 2018 hingga 2020.
Aylton pula merupakan tonggak utama Kelantan United sejak 2019 hingga musim lalu, manakala Badrul adalah bekas pemain utama UKM FC musim lalu. Sebelum ini beliau pernah menyertai skuad Piala Belia dan Piala Presiden skuad Terengganu FC dan skuad PKNP FC.
Aylton mengakui tidak sabar menunggu detik saingan Liga Premier 2021. “Saya cukup teruja… Liga Malaysia bukanlah asing bagi saya kerana sudan dua musim bersama Kelantan sebelum ini.
“Janji saya cuma satu, mahu memastikan pasukan ini bermain dalam Liga Super 2022,” ujar Aylton kepada arena Suara Sarawak ketika sesi latihan.
Rafiq pula mahu memanfaatkan pengalaman empat tahun beraksi dalam Liga Super dan tiga tahun dalam Liga Premier untuk membantu Kuching City.
“Saya mahu curahkan segala pengalaman yang ada demi Kuching City. Saya mahu pasukan ini melangkah lebih jauh,” jelasnya.
Bagi bintang muda, Badrul, sudah semestinya mahu mengangkat nama Kuching City ke tahap yang lebih baik.
“Fokus utama saya adalah untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama.
“Kedua, saya mahu memastikan Kuching City meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan yang diharungi,” ujarnya.
Ketiga-tiga pemain tersebut menjalani latihan pertama petang semalam, manakala pasukan pemain lain pula kembali berlatih selepas seminggu berehat.

Suara Sarawak