Jarak bukan penghalang anggota bomba bantu mangsa kebakaran di Long Adang

LIMBANG : Jarak bukan penghalang anggota Bomba dan Penyelamat bahagian Limbang menjalankan tanggungjawab membantu masyarakat Penan di Long Adang hulu Limbang, semalam.

Jarak sejauh 127 kilometer dari balai, masa diambil untuk sampai ke kawasan kejadian lebih kurang empat jam 20 minit dengan melalui jalan balak, tanah kuning, meredah sungai dan berjalan kaki selama 25 minit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem berkata, seramai dua orang anggota bomba dan seorang anggota polis terlibat dalam operasi tersebut.

“Setibanya mereka di sana, didapati sebuah rumah jenis kayu yang didiami oleh empat sekeluarga itu terbakar sepenuhnya dijilat api.

“Namun tidak ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” ujarnya semasa dihubungi oleh pihak wartawan.

Menurut Tawang, pengalaman yang sangat mencabar ini tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

“Secara jujurnya saya memang merasa bangga kerana dapat menjejak kaki ke tempat ini bersama dengan tugasan yang saya buat demi membantu menyelesaikan kes kebakaran rumah kampung Penan ini.

“Walaupun penat namun satu pengalaman yang menyeronokkan di mana saya dapat merasai sendiri melalui jalan kayu balak dan mendaki gunung untuk sampai ke lokasi,” ujarnya.

Selain itu, beliau sempat merakamkan terima kasih kepada Koperal Wilson Kimsit yang menjadi jurupandu sepanjang operasi dilakukan.

“Tanpa bantuan dari beliau, kemungkinan saya akan sesat dan hanyut dibawa arus deras semasa tergelincir di sungai Adang,” jelas beliau.

Suara Sarawak