Jarak penglihatan 500 meter, perkhidmatan feri lumpuh

KUCHING: Beberapa perkhidmatan feri turut terjejas akibat jerebu semakin teruk melanda negeri ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Itin Langit berkata di Triso-Sebuyau, tiga perkhidmatan feri terpaksa dihentikan sementara sejak jam 4 hingga 7 pagi disebabkan IPU yang tinggi di kawasan berkenaan.

“Perkhidmatan feri terpaksa dihentikan sementara kerana jarak penglihatan terhad iaitu sekitar 500 meter,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Itin menambah juragan feri juga terpaksa berkomunikasi antara satu sama lain bagi mengelak perlanggaran semasa menyeberangi Sungai Batang Lupar itu.

“Juragan juga berhak menangguhkan atau menghentikan operasi atas faktor keselamatan,” katanya.

Namun, beliau berkata operasi disambung semula kira-kira jam 10 pagi selepas keadaan mengizinkan.