ARTIKEL

Nie Ching (tiga, kanan) menyantuni isteri mendiang James Ritchie, Helen Tan (tiga, kiri) pada majlis penyampaian Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM di kediaman beliau di sini.

Jasa, sumbangan James Ritchie dalam kewartawanan terus dikenang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jasa dan sumbangan mendiang wartawan veteran James Alexander Ritchie dalam bidang kewartawanan akan terus dikenang, khususnya sepanjang lebih 50 tahun beliau berkhidmat dalam bidang media dan komunikasi.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, James bukan sahaja merupakan penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, malah mempunyai sumbangan besar dalam perkembangan kewartawanan di Borneo.

“James merupakan tokoh penerima Anugerah HAWANA 2024 dan ketika itu sambutan HAWANA dianjurkan di Kuching.

“Beliau menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri ketika sambutan HAWANA di Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meluangkan masa menyantuni keluarga mendiang James serta menyempurnakan penyampaian Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada isterinya, Helen Tan, di kediaman mereka di sini, hari ini.

Teo berkata, James yang berasal dari Pulau Pinang, lama menetap dan berkhidmat di Borneo, selain menjadi antara individu yang membawa New Straits Times (NST) ke Sarawak.

Mendiang James meninggal dunia akibat serangan jantung pada 3 Mei 2025 lalu pada usia 75 tahun.

Kerjaya mendiang dalam bidang media dan komunikasi bermula pada 1971 sebagai wartawan kadet NST sebelum berkhidmat sebagai wartawan NST Sarawak pada 1981.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak pada 1998 dan Perunding Media bersama Sarawak Digest pada 2022.

Teo berkata, penyampaian sumbangan kepada waris mendiang merupakan tanda penghargaan ke atas jasa bakti James sepanjang kerjayanya, selain mencerminkan keprihatinan kepada kebajikan keluarga pengamal media.

“Hari ini saya bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan pasukan BERNAMA datang untuk menziarahi keluarga beliau serta menyampaikan ucapan takziah.

“Kami juga ingin memberitahu keluarga bahawa James akan sentiasa dikenang,” katanya.

Beliau berkata, Tabung Kasih@HAWANA yang ditubuhkan pada 2023 merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi BERNAMA bagi membantu pengamal media yang memerlukan.

Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM pula merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA menerusi dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU