KUCHING: Jasad mendiang Datuk (Sarjan) Awang Raweng selamat disemadikan kira-kira jam 11.35 pagi tadi di Makam Pahlawan, Taman Budaya di sini.
Bendera Jalur Gemilang dan bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan pada keranda mendiang dan dibawa dari Dewan Suarah Kuching ke Makam Pahlawan.
Pada upacara pengkebumian, mendiang diberi penghormatan pahlawan oleh ATM.
Upacara pengkebumian bermula dengan tiupan trumpet “Last Post” diikuti dengan dua minit berkabung dan tiupan trumpet “Rouse” dan bacaan doa oleh Reverend Father Canon Roanni Cannindy.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Kerajaan Sarawak menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada Panggau Awang diikuti penyerahan bendera ATM oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakari Yadi kepada Doris Awang.
Ahli keluarga serta hadirin kenamaan yang lain turut memberikan penghormatan terakhir serta meletakkan bunga pada pusara mendiang.
