Jasper juara TVSTARZ

KUCHING: Jasper Nimoi dinobatkan sebagai juara TVSTARZ musim pertama pada episod akhir yang berlangsung semalam.

Jasper yang berasal dari Kuching membawa pulang wang tunai RM30,000 serta trofi kemenangan TVSTARZ.

Pemuda berusia 31 tahun itu mendendangkan lagu I Have Nothing nyanyian Whitney Houston.

Jasper sebelum ini dikenali sebagai Raja Tempat Kedua, namun dia telah membuktikan dirinya sebagai juara dengan persembahan final yang luar biasa.

“Saya tidak menyangka ini akan berlaku.

Bersaing dengan Fanzi, saya benar-benar tidak menjangka ini, “ katanya.

Jasper sebelum ini pernah memenangi anugerah luar biasa, termasuk DAMA 2013 sebagai juara dan Digi Celebriteen 2006 dan 2007 sebagai naib juara di pentas TV3.

Beliau juga pernah memenangi sesi rakaman studio dengan komposer tersohor Malaysia, Aubrey Suwito.

Juri TVSTARZ, Yudhi Seriestha turut memuji persembahan Jasper pada final tersebut.

“Pagi ini kamu sudah nyanyikan yang terbaik. Dalam pertandingan ini, daripada beberapa lagu yang sudah kamu nyanyikan, inilah yang terbaik daripada Jazper,” kata Yudhi.

Di tempat kedua, Fanzi memenangi hadiah bernilai RM15,000 dengan persembahan Bukan Dia Tapi Aku oleh Judika.

Ini adalah perubahan keputusan yang mengejutkan, namun Fanzi telah memenangi kedudukan tiga teratas walaupun baru sahaja menyertai Dream Team.

Manakala di tempat ketiga dimenangi oleh Andrey (RM10,000) dengan lagunya All of Me oleh John Legend.

Suara Sarawak