KUCHING: Seorang lelaki warga India dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari kapal di Sungai Sarawak, berdekatan Jambatan Isthmus di sini semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Santosh Kumar berusia 23 tahun dilaporkan terjatuh sekitar jam 3.12 petang.
Katanya kejadian berlaku ketika kapal terbabit yang membawa enam anak kapal mula bertolak dari jeti Sheng Yang menuju ke Baraj Kuching.
“Selepas lebih kurang 15 minit bertolak, jurumudi kapal menyedari mangsa telah terjatuh dari kapal dan usaha menyelamatkannya dengan membaling pelampung ke arahnya telah dilakukan namun gagal kerana mangsa terus tenggelam ke dalam air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bersama Polis Marin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya pasukan bomba menjalankan pencarian di permukaan air serta kaedah “grappling iron” dalam radius 150 meter dari lokasi mangsa jatuh namun masih gagal menemui mangsa.
