ARTIKEL

Jatuh ke dalam dulang emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SATU Malaysia heboh dengan pemakluman watikah dari istana yang menyatakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menjadikan kanak-kanak istimewa, Missclyen Roland, 2, yang menghidap sindrom serigala jadian sebagai anak angkat baginda.

Media seluruh negara memberi tumpuan kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit jarang dijumpai itu.

Ramai yang menganggapnya anak bertuah kerana menjentik kasih sayang permaisuri untuk menjadikan dia sebagai anak angkat diraja.

Anak ini ibarat jatuh ke dalam dulang emas kerana bukan calangcalang orang biasa boleh masuk istana.

Mengenali cerita Tunku Azizah, baginda memang terkenal sebagai permaisuri yang selalu membantu wanita yang tidak mampu mengandung secara normal melalui Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang setakat ini telah merealisasikan beratus-ratus impian pasangan ingin memiliki anak melalui rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF).

TAFF pertubuhan amal yang ditubuhkan pada 11 Ogos 2004 — menaja pasangan yang terpilih untuk rawatan IVF di salah sebuah pusat fertiliti yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Yayasan itu menyediakan bantuan kewangan dan membantu pasangan suami isteri kurang mampu dan memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan negeri mencari dan mendapatkan rawatan perubatan serta menyediakan kaunseling dan perkhidmatan sokongan berkaitan terutamanya isu kemandulan.

“Saya satu-satu permaisuri di dunia yang mempunyai empat cahaya mata hasil IVF.

Saya tidak malu katakan kepada seluruh dunia bahawa saya juga mengalami masalah dan kesukaran menimang cahaya mata.

“Usaha ini mengambil masa lebih sembilan tahun,” kata Tunku Azizah dalam satu temu bual.

Malah baginda keguguran sepanjang 16 kali melalui proses rawatan kesuburan termasuk IVF.

Lebih hebat baginda menunggu kira-kira 10 tahun untuk melahirkan Putera Mahkota Pahang.

Ujian yang dihadapi dalam mendapatkan zuriat dan pengalaman menjalani rawatan kesuburan, memberi ilham menubuhkan TAFF dengan niat membantu merealisasikan wanita seperti baginda.

Semua anak pelbagai kaum yang berjaya dilahirkan di bawah TAFF dianggap seperti cucu baginda malah di seluruh negara kini, ramai cucu Tunku Azizah lahir daripada TAFF.

“Saya memahami bagaimana rasanya apabila anda tidak mempunyai anak, tidak melahirkan anak,” katanya dalam satu temu ramah sebaik ditabal menjadi Raja Permaisuri Agong pada 31 Januari 2019.

Pembantunya Saerah Ali yang ketika itu berusa 84 tahun ketika ditemu bual Bernama menceritakan bagaimana Tunku Azizah berdepan ujian berat keguguran berkali-kali dalam mendapatkan zuriat.

“Baginda tidak pernah sekali pun berputus asa. Keguguran pertama berlaku semasa kandungan sudah berusia dua atau tiga bulan.

Tuanku kuat menghadapi ujian itu sehingga kami yang bekerja di samping baginda yang bimbang bagaimana caranya hendak menceriakan baginda

“Baginda menyibukkan diri dan tidak mahu duduk sahaja semasa dalam pantang.

Memandangkan baginda tidak boleh banyak bergerak, baginda menitahkan supaya kerja yang perlu dilakukan, dibawa kepada baginda supaya boleh dilakukan di katil,” kata Saerah yang merupakan satu-satunya daripada tiga yang dianggap wanita emas yang menjadi pembantu Tunku Azizah.

Justeru, jika baginda jatuh hati kepada Missclyen yang datang dari luar bandar Bintulu, ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana Tunku Azizah dikenali wanita yang punya rasa keibuan yang tinggi.

Itu kisah permaisuri, bagaimana dengan anda wanita biasa yang menjadi ibu angkat.

Dalam isu anak angkat ini, siapa pasangan di dunia yang tidak impikan memiliki zuriat?

Orang yang tidak normal menganggap zuriat sebagai beban dalam perkahwinan.

Namun yang berlaku sekarang, negara berdepan masalah kesuburan lelaki pada tahap membimbangkan yang menyumbang kepada pasangan tidak boleh melahirkan anak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu berkata, ia berdasarkan data ujian analisis sperma makmal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia (LPPKN) yang mendapati sebanyak 60 peratus menunjukkan keputusan abnormal.

Perkara berkenaan secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin di Malaysia.

Pada masa sama kadar kelahiran di negara kita juga menunjukkan trend penurunan sejak 40 tahun lepas dan ia berkait rapat dengan kadar kesuburan dengan data 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan 1.7 orang anak bagi setiap wanita berkahwin.

Jika berkahwin tidak memiliki anak, apakah penyelesaian terbaik?

Takkan kita mahu berdua-duaan sampai tua? Salah satunya buat IVF tetapi peratusan untuk berjaya sangat rendah, tiada jaminan ia berjaya 100 peratus.

Keduanya, mengambil anak angkat. Saya rasa penyelesaian kedua merupakan yang terbaik.

Tetapi siapa yang sudi memberi anak kepada pasangan yang tidak dikenali untuk menjaga anak mereka? Ia bergantung kepada rezeki.

Biar saya kongsikan satu kisah benar. Seorang anak perempuan, kacukan Filipina, Cina dan Melayu menjadi anak angkat kepada pasangan di Sarawak.

Kisahnya bermula apabila pasangan muda ini berkahwin tanpa restu dan hamilkan seorang anak perempuan yang ditolak keluarga sehingga membawanya menyeberangi Laut China Selatan, untuk dijaga oleh sebuah keluarga yang asing, tiada hubungan darah dengannya.

Dipendekkan cerita, itu permulaan hidup bayi perempuan cantik ke sebuah keluarga yang benar-benar perlu dan menyayanginya.

Apa yang saya hendak kongsikan di sini, anak angkat — jangan memandang mereka sebagai stigma yang tidak adil. Anak angkat pun berhak untuk dicintai, dibesarkan dengan kasih sayang, diberi pendidikan, dijaga kesihatan seperti anak kandung.

Seorang guru sufi bernama Ibn Arabi pernah berkata, ibu yang melahirkan kita ada dua — ibu pertama mereka yang melahirkan kita dari rahimnya, ibu kedua pula mereka yang melahirkan kita daripada hati yang paling mulia.

Ibu yang kedua ialah mereka yang mengangkat anak, tidak melahirkan anak daripada rahimnya, namun melahirkan anak daripada hatinya yang tulus.

Mereka juga harus diberi keadilan dalam keluarga angkatnya tanpa disisih sedikit pun haknya dari sudut kemanusiaan.

Jika kalian bergelar ibu angkat, jangan pernah berasa rendah diri apabila orang luar menganggap kalian mandul.

Jika tidak wanita tulus seperti kalian, ke mana lagi anak-anak ini pergi?

LAIN-LAIN BERITA

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

Idam gelaran dunia

PETINJU profesional kebanggaan Sarawak, Dealoniel Mcdelon Bong, 25, bakal melangkah setapak lagi selepas mengharungi pertarungan “Path To Glory” Sabtu ini (17 Februari), menentang petinju Bangladesh,

BERITA TERBARU