
KUCHING: Perkhidmatan mantan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion selama 42 tahun dalam perkhidmatan awam telah banyak menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Jaul semasa menjawat sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak telah membantu Kerajaan Sarawak dalam menghimpunkan pakar dari sektor awam dan swasta dalam merangka Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCSD 2030).
“Jaul telah melakukan yang terbaik dalam membantu Kerajaan Sarawak dalam menyesuaikan pembangunan ekonomi ke arah agenda digital dan dalam masa yang sama memulihkan ekonomi pasca pandemik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Manakala mengenang kembali sepanjang perkhidmatan Jaul dalam perkhidmatan awam Sarawak, beliau berkata Jaul adalah antara individu yang membantunya dalam membentuk kementerian industri pada 1987 sebagai pembantu setiausaha Unit Perancangan Negeri (SPU).
Katanya Ketua Menteri ketika itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahukan peralihan ke arah perindustrian daripada ekonomi berasaskan pertanian.
“Ia adalah arahan yang sukar dan saya diberikan tugas untuk membentuk kementerian ini dan memberi hala tuju baharu kepada ekonomi negeri.
“Arahan untuk membentuk kementerian baharu dari kosong tidak mudah dan kita memerlukan pakar ekonomi untuk membantu kita membentuk hala tuju perindustrian.
“Kemudian, keseluruhan kakitangan SPU diberikan tugas untuk membantu saya dalam pembentukan kementerian ini dan salah seorangnya adalah Jaul,” katanya.
Tambahnya, tugasan tersebut tidak mudah kerana ia sesuatu yang baharu lebih-lebih lagi dalam mempromosikan Sarawak kepada pelabur untuk memulakan industri mereka di negeri ini.
Kata Abang Johari, hasil promosi meluas ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bersama Tan Sri Rafidah Aziz (mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) pada penghujung 1987, Sarawak berupaya memulakan program perindustriannya.
“Kita berupaya memulakan program perindustrian di Sejingkat, Sama Jaya, Kemena dan kemudiannya di Tanjung Manis serta Kidurong.
“Semasa lawatan pada 1987, kita berupaya menyakinkan Shell dan Petronas untuk menubuhkan Loji Penyulingan Sintesis (SMDS) di Bintulu, pelan pertama dunia di Bintulu.
“Ini merupakan sumbangan Jaul pada ketika itu,” katanya.
Selain itu, Abang Johari berkata Sarawak juga berupaya membawa pelaburan di negeri ini melalui syarikat elektronik di Sama Jaya.
Turut hadir Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dun Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan barisan kabinet Kerajaan Sarawak.