ARTIKEL

PENGHORMATAN... Fadillah (kiri) mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Jawatankuasa penyelaras antara PETRA dan Kerajaan Sarawak diwujudkan, pastikan projek dirancang dan dilaksanakan sebaiknya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Satu jawatankuasa penyelaras antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan Kerajaan Sarawak akan diwujudkan bagi memastikan projek dapat dirancang dan dilaksanakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan rakyat Sarawak dan negara.

Menurut PETRA, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat delegasi PETRA, diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri PETRA bersama Kerajaan Sarawak diketuai Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Fadillah sebelum itu turut mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Haji Mad Zaidi Mohd Karli, pengurusan dan pegawai tertinggi PETRA serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.

Baca lain  Bangladesh teruja bekal pekerja ke Sarawak

PETRA berkata, sebelum ini, Fadillah yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah-Sarawak turut mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bandar raya Kuching di Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak.

“Beliau telah diberi taklimat berhubung reka bentuk RTB bandar raya Kuching sebelum projek dilaksanakan agar manfaat projek dapat disasarkan kepada masyarakat tepat dan berkesan.

“Seterusnya,Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA ke Wisma Persekutuan Kuching untuk mendengar taklimat mengenai projek-projek Sarawak oleh agensi pelaksana projek-projek Kerajaan Persekutuan di Sarawak,” katanya.

Sebanyak 46 projek diluluskan di bawah sektor air di Sarawak menerusi PETRA iaitu 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan kos sebanyak RM6.01 bilion.

Menurut PETRA, jumlah yang telah diluluskan bagi pelaksanaan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM298 juta.

BINCANG… Fadillah (enam kiri) bersama Abang Johari (tengah) merakam kenangan selepas mesyuarat antara delegasi PETRA dan Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

“Projek-projek yang diluluskan ini merangkumi pelindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management – IRBM), pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air,” jelasnya.

Baca lain  Bulatan Setia Raja ditutup hingga 18 Mac depan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan untuk menjamin impak yang maksimum kepada rakyat negeri Sarawak.

Tambahnya, pemantauan yang komprehensif dan berterusan merupakan kunci utama kepada pembangunan negara yang seimbang seperti mana yang dihasratkan Perdana Menteri menerusi gagasan berteraskan konsep Malaysia MADANI.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU