KUCHING: Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi memutuskan keperluan pentadbiran Pelabuhan Bintulu diserahkan kepada Kerajaan Sarawak.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, jawatankuasa di peringkat pentadbiran tersebut akan melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
“Dalam minggu ini saya telah menerima surat daripada Sarawak berhubung penyerahan kembali Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri.
“Selepas ini, kita akan mengadakan mesyuarat di peringkat agensi-agensi Persekutuan berkaitan untuk melihat pandangan mereka dan sebagainya.
“Kemudian, akan diwujudkan jawatankuasa antara Persekutuan dan kerajaan negeri di peringkat pentadbiran untuk berbincang mengenai penyerahan kuasa berkenaan,” katanya.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Solat Isya’ dan Terawih Berjemaah bersama penduduk tempatan di Masjid Darul Ibadah, Kampung Kudei Lama, di sini, malam tadi.
Tambahnya, perbincangan turut akan dilaksanakan dengan Kementerian Kewangan untuk melihat perincian dan pandangan pihak Kerajaan Persekutuan sama ada setuju untuk menyerahkan pentadbiran Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak mengikut peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Pada Januari, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu kerajaan negeri akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk tidak meneruskan status Pelabuhan Bintulu, pelabuhan laut dalam yang terletak kira-kira 626 kilometer utara dari sini, sebagai sebuah pelabuhan persekutuan.
Abang Johari berkata, langkah itu akan membolehkan pelabuhan tersebut diurus dan dimajukan lagi sebagai pelabuhan negeri sekali gus mengubahnya sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Pasifik.