JBPM siap sedia hadapi musim kering

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak merangka beberapa gerak langkah sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian kebakaran hutan di negeri ini pada bila-bila masa.

Pengarahnya Khirudin Drahman@ Hussaini berkata, tindakan itu diambil sebagai persiapan menjelang musim panas dan kering pada Mac hingga awal Mei sejurus selepas peralihan monsun timur laut pada akhir Februari.

Menurut beliau, keadaan cuaca panas dan angin laut pada sebelah siang menyebabkan keadaan kering, kawasan semak samun akan mudah terbakar.

“Tinjauan dan rondaan khususnya di kawasan Utara Sarawak seperti Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas oleh agensi bertanggungjawab diselaraskan.

“Menara tinjau akan mula dibuka dan kawalan masuk kawasan hutan mudah terbakar akan dipertingkatkan.

“Tindakan memberi nasihat dan advokasi kepada pekebun dan peladang serta koordinasi bersama agensi-agensi penting seperti Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suara Sarawak