KUCHING: Skuad PFA Odin Sarawak gagal untuk meneruskan momentum meraih sebarang mata dalam kempen Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2023.
Perlawanan ke sembilan (Kumpulan B) yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya petang semalam menyaksikan anak-anak buah Mohd Faizal Zamri dibelasah teruk (11-1) oleh Johor Darul Ta’zim.
Penyudah hebat penyerang sensasi JDT, Muhammad Ekmal Shahrin antara yang mencuri tumpuan apabila meledak empat gol minit ke-10, 12, 25 dan 29.
Tujuh lagi gol harimau selatan dijaringkan oleh Garcia Rego Caio Caser minit ke-9 dan 19. Mohamad Danial Abdul Dain minit ke-26, Mohammad Saad Abdul Sani minit ke-14, Fakrul Islam Anizam minit ke-18, Fadzwil Ahmad minit ke-35 dan Mohammad Awalluddin Mat Nawi minit ke-38.
Gol tunggal PFA Odin Sarawak dijaringkan oleh Radziman Radzuan minit ke-17.
Aksi seimbang diperaga pemain kedua-dua pasukan di awal saingan. Namun, segalanya berubah selepas pasukan pelawat menjaringkan gol.
Babak pertama pasukan pelawat berjaya mengemudi pentas saingan dengan enam gol. Disusuli lima lagi gol terhasil pada babak kedua.
Perlawanan seterusnya PFA Odin Sarawak akan menentang Shah Alam City di gelanggang sama pada 10 Jun nanti.