JDT julang Piala Sumbangsih empat tahun berturut-turut

KEMENANGAN 2-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada perlawanan Piala Sumbangsih malam kelmarin, adalah penting untuk melalui satu lagi musim yang hebat, kata jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Jurulatih dari Mexico itu yakin JDT berada pada landasan yang tepat untuk kembali kepada prestasi terbaik walaupun berhadapan dengan pramusim yang pendek.

“Saya tidak rasa kami berada pada tahap 100 peratus, ini satu permulaan yang bagus tetapi mereka boleh berikan lebih baik lagi.

“Ia akan jadi satu musim yang bagus, disebabkan mereka bermotivasi, mereka masih kelaparan dan anda boleh lihat bagaimana mereka terus mengasak walaupun selepas kehilangan bola.

“Tetapi tiada pasukan yang 100 peratus pada perlawanan pertama, itu sudah pasti, saya boleh jamin KDA FC juga tidak berikan 100 peratus, JDT belum 100 peratus, tetapi kita akan sampai ke tahap itu tidak lama lagi,” katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung tanpa penonton di Stadium Sultan Ibrahim, JDT mengekalkan kemenangan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut.

Penyerang kebangsaan Muhammad Safawi Rasid membuka jaringan pada minit ke-34 dan pemain dari Sepanyol Ignacio Insa menjaringkan gol kedua pada minit ke-67

Sementara itu jurulatih KDA FC Aidil Sharil Sahak menerima kekalahan dengan hati terbuka, kerana pasukannya menunjukan semangat juang yang tinggi dalam mengawal serangan JDT sepanjang saingan.

“Adalah suatu yang biasa apabila bermain di tempat lawan, menentang pasukan yang bagus seperti JDT, yang sentiasa cuba menguasai dan meletakkan tekanan untuk 15-20 minit pertama.

“Tetapi saya perlu memuji anak-anak buah saya, kerana bermain dengan baik dengan empat pemain simpanan tempatan,” jelasnya.

“Tetapi akhirnya, kita perlu terima JDT adalah pasukan yang lebih baik, mereka kuat di laman sendiri dan mempunyai ramai pemain bagus dan juga ramai pemain import.

Selepas pramusim yang pendek beliau berkata, proses membina pasukan yang kuat akan berterusan bagi memastikan pasukannya boleh terus bertanding dan mencapai keputusan yang terbaik, pada hujung musim. – Bernama

Suara Sarawak