JDT uji Kuching FA

JUARA Piala Malaysia 2019 dan juara Liga Super 2019, Johor Darul Takzim (JDT) mengalahkan pasukan Kuching FA 4-0 dalam perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Sultan Ibrahim Larkin malam semalam.

Menurut sumber daripada JDT, gol-gol tuan rumah dijaringkan oleh bintang import, Diogo Luis Santo pada minit ke-35, kemudiannya disusuli jaringan Hazwan Bakri pada minit ke-65.

JDT terus menggegar selepas itu melalui Leandro Sebastian pada minit ke-69 dan penyerang import baharu, Liridon Krasniqi meledakkan gol keempat pada minit ke-71.

Kuching FA diperkuatkan oleh calon import asing, Francis Forkey Doe serta dua lagi calon import dari benua Afrika.

Perlawanan persahabatan tersebut adalah atas jemputan TMJ buat Kuching FA yang diterajui Fazzrudin Abdul Rahman. Di samping sebagai persiapan pramusim, ia juga untuk menguji gelanggang baharu bertaraf dunia, Stadium Sultan Ibrahim Larkin yang mampu menampung 40,000 penonton.

Stadium yang bernilai RM200 juta itu mempunyai kelengkapan berkelas antrabangsa.

Sementara itu, Kuching FA sekarang ini sudah pun dalam fasa persiapan terakhir untuk menghadapi Liga Premier 2020.

Mereka kini hanya menunggu tiga calon import asing bagi melengkapkan senarai penuh pemain yang dijangka lengkap dalam minggu ini.

Forkey Doe adalah antara calon import asing baharu, di samping dua pemain dari Afrika, seorang dari Brazil dan seorang lagi dari Jepun. Kuching FA akan mengadakan siri jelajah ke Semenanung Malaysia untuk aksi persahabatan pramusim selepas ini.

Kuching FA

 

JDT

Suara Sarawak