ARTIKEL

Lim (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Norazlan sebagai tanda penghargaan selepas beliau menyampaikan taklimat penguatkuasaan hidupan liar dan kawasan perlindungan.

Jejak aliran wang sindiket

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sindiket penyeludupan hidupan liar bukan sahaja diburu kerana kegiatan haram mereka, malah keuntungan diperoleh daripada aktiviti itu turut menjadi sasaran pihak berkuasa.

Pendekatan berkenaan diberi penekanan menerusi taklimat penguatkuasaan hidupan liar dan kawasan perlindungan yang diadakan antara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Mess Pegawai Kanan Briged PGA Sarawak, di sini, semalam.

Taklimat itu memberi tumpuan kepada penggunaan peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi menjejaki aliran kewangan hasil kegiatan penyeludupan dan perdagangan hidupan liar secara haram.

Sesi berkenaan disampaikan oleh Ketua Seksyen Penguatkuasaan Hidupan Liar dan Kawasan Perlindungan SFC Sarawak, Mohammad Norazlan Jamil, dan Ketua Seksyen Bahagian Kuching, David Mohamad.

Menerusi pendekatan itu, pihak berkuasa boleh menjejaki aliran wang, mengenal pasti sumber dana serta membongkar individu dan rangkaian yang meraih keuntungan daripada kegiatan penyeludupan hidupan liar.

Strategi berkenaan turut membolehkan tindakan diperluas daripada hanya menyasarkan individu yang melakukan kesalahan kepada usaha membongkar rangkaian lebih besar dan pihak lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan haram terbabit.

Kerjasama PGA dan SFC turut diperkukuh menerusi perkongsian risikan, maklumat dan kepakaran bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan jenayah hidupan liar serta sumber asli.

Turut hadir ialah Komander Briged PGA Sarawak, SAC Datuk Lim Bak Phai, Timbalan Komander Briged, ACP Rusdi Inai, pegawai kanan Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak serta anggota daripada pelbagai unit.

Kerjasama itu juga membuka ruang kepada pelaksanaan operasi bersama yang lebih berkesan, khususnya bagi memutuskan rangkaian penyeludupan dan membanteras perdagangan hidupan liar secara haram.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU