Jejak buaya dari langit

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak banyak menggunakan teknologi dron dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa serangan buaya di negeri tahun ini.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata, berbanding tahun sebelum ini pihaknya menggunakan dron mencari mangsa hilang di hutan tetapi sejak tahun ini juga, ia digunakan mencari mangsa serangan buaya dan lemas.

“Ini kerana kes orang hilang di hutan banyak berlaku di dalam hutan tebal.

Jadi kita gunakan mencari mangsa lemas dan serangan buaya dengan menyusuri tebingan sungai.

“Sebagai contoh, kita gunakan dron di dua kes di hulu sungai yang cetek dan tidak mempunyai akses untuk bot di kawasan lubuk buaya,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Ujarnya, teknologi dron banyak membantu pasukan keselamatan meluaskan liputan carian berdasarkan gerak atur operasi yang dirancang.

“Malah penggunaan dron membantu mempercepatkan operasi pencarian mangsa kerana ia mempunyai pandangan dari langit bagi kawasan yang luas.

“Ia turut memberikan lokasi yang tepat dalam mengenal pasti kedudukan mangsa untuk memudahkan kita menggerakkan aset,” tambahnya.

Katanya lagi, setakat ini pihaknya mempunyai tiga dron, tetapi turut berkolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan yang bergiat aktif dengan penggunaan dron.

Dron merupakan pesawat tanpa pemandu (UAV) dan turut dikenali sebagai robot terbang dan boleh dikawal sama ada menggunakan alat kawalan, atau boleh terbang menggunakan perisian kawalan kapal terbang yang dipasang di dalamnya.

Hari ini dron banyak digunakan secara meluas bagi tujuan lain mencari dan menyelamat, pengawasan, pemantauan trafik dan cuaca, bantuan memadamkan kebakaran dan sebagainya.

Selain itu, Sarawak terkenal dengan populasi buaya yang banyak.

Dianggarkan sekitar 180,000 ekor berdasarkan kiraan tempoh 2012 hingga 2015.

Memetik kenyataan Timbalan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Engkamat Lading berkata, survei yang dilakukan dalam tempoh terbabit mendapati populasi buaya sebanyak lapan ke dua belas ekor bagi setiap kilometer (km).

“Ini memberikan purata densiti relatif sebanyak enam ekor bagi setiap ki-lometer bagi sungai yang diservei pada masa tersebut.

“Jarak sungai yang disurvei sekitar 2,000 kilometer,” katanya.

Secara keseluruhannya, 45 sungai di Sarawak dikenal pasti sebagai lubuk buaya sejak JHS melaksanakan Ordinan Hidupan Liar pada tahun 1990.

Pada 1980-an, masyarakat di Sarawak pernah gempar dengan kejadian seekor buaya ganas bergelar Bujang Senang yang mendiami Sungai Batang Lupar di Sri Aman, Sarawak, menyerang dan membaham beberapa mangsa.

Sekitar 1982 sehingga 1991, reptilia ganas itu membaham 13 penduduk kampung dan selepas membunuh mangsa yang ke-14, haiwan itu dibunuh pemburu berbangsa Iban dan anggota polis pada 22 Mei 1992.

Terdapat dua jenis buaya di Malaysia, iaitu buaya tembaga (Crocodylus Porosus) yang turut dikenali sebagai buaya katak, buaya muara dan buaya air masin dan buaya Jejulong atau Malayan Gharial.

Bujang Senang merupakan spesies buaya tembaga.

Suara Sarawak