SELEPAS diluluskan sebulat suara DUN Sarawak pada 22 November 2023, RUU Dana Kekayaan Berdaulat (SWF) Masa Depan Sarawak beroperasi 2024 dengan dana permulaan RM8 bilion.
Dana dikendalikan pakar dan profesional bawah pengurusan badan korporat Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak itu mengambil model dana tiga negara yang berjaya iaitu Norway, Singapura dan United Kingdom.
Tiga dana milik negara ini terbukti menggelembung dan menjadi antara penanda aras bagi negara lain yang mahu memulakan dasar persiapan ekonomi masa depan negara.
Ketika ini, Norway berada pada ranking teratas memiliki jumlah Dana Kekayaan Berdaulat sebesar A$1.37 trilion (RM6.18 trilion).
Manakala, Singapura melalui Temasek Holdings memiliki dana sebesar AS$492 bilion (RM2.22 trilion).
Melalui GIC Private Limited juga milik Singapura mempunyai dana sebesar AS$690 bilion (RM3.11 trilion).
Selain Singapura dan United Kingdom, dana lain yang termasuk dalam senarai 10 besar memiliki Dana kekayaan Berdaulat ialah China. Syarikat Pelaburan SAFE, China memiliki AS$1.01 trilion (RM4.56 trilion).
Sementara, dana Portfolio Pelaburan Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong memiliki nilaian dana AS$514 bilion (RM2.31 bilion).
Selain dana penting pelbagai zon ini, Sarawak wajar belajar dengan Dana Kekayaan Berdaulat milik negara-negara Timur Tengah yang berada dalam ranking 10 besar.
Misalnya Dana Kekayaan Berdaulat Pelaburan Pihak Berkuasa Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang ditubuhkan pada 1976.
PENDAPATAN
Kini dana milik UAE yang berada pada ranking keempat dunia itu bernilai AS$853 bilion (RM3.85 trilion).
Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menerima sebahagian besar pembiayaannya daripada Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi dan anak-anak syarikatnya.
Berada pada tangga kelima ialah Pelaburan Pihak Berkuasa Kuwait. Dana ini ditubuhkan pada 1953, dengan nilai dananya sekarang mencapai AS$803 bilion (RM3.62 bilion).
Dana Kuwait ini merupakan pendapatan terkumpul daripada lebihan hasil minyak.
Pelaburan Pihak Berkuasa Kuwait ini juga merupakan dana kekayaan negara yang pertama dan tertua di dunia.
Berada pada tangga keenam ialah Pelaburan Awam (PIF), Arab Saudi diasaskan pada 1971 memiliki aset semasa bernilai AS$776 bilion (RM3.5 bilion).
Pelaburan Pihak Berkuasa Qatar (QIA) yang diwujudkan untuk mengurus lebihan hasil daripada industri minyak dan gas asli negara itu mengikut nisbah pula berada pada ranking ke-10.
Dana ini ditubuhkan pada 2005, dengan jumlah dana terkini AS$475 bilion (RM2.14 trilion). Jelas, empat daripada negara miliki negara Arab berada dalam senarai 10 besar SWF dunia.
Selebihnya, dalam senarai 100 SWF dunia, negara di Timur Tengah, terutama di Teluk Arab, terdapat banyak SWF bersaiz besar.
Antara SWF di negara Timur Tengah yang lain ialah Pelaburan Emirates, Pelaburan Oman, Mumtalakat Holding, Dana Kedaulatan Mesir, Pengurusan Aset Sharjah, Dana Pelaburan Palestin, Dana Simpanan Generasi Masa Depan Bahrain, Perbadanan Pelaburan Dubai, Syarikat Pelaburan Mubadala, Dana Kekayaan Turkiye, Syarikat Induk Pembangunan Abu Dhabi dan Pihak Berkuasa Pelaburan Emirates, Dana Pembangunan Kebangsaan Iran, Fujairah Holding dan sebagainya.
KEWANGAN GLOBAL
Dana Kekayaan Berdaulat rantau Teluk Arab, khususnya yang terletak di negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjadi kunci kepada ekosistem kewangan global.
Ekonomi yang bergantung kepada satu produk atau komoditi seperti minyak sering menggunakan SWF untuk mempelbagaikan aliran pendapatan mereka dan mengurangkan pergantungan kepada hasil sumber asli.
Arab Saudi, sebagai contoh merangka Wawasan 2030 bertujuan mempelbagaikan ekonomi dan mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak melalui transformasi Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) yang merupakan SWF yang melabur dalam pelbagai sektor.
Negara di Teluk Parsi direkodkan setiap tahun menyimpan 10 peratus daripada lebihan hasil jualan minyak mentah sebagai SWF.
Bahkan, di Asia Tenggara sendiri, Malaysia wajar memerhati lebih dekat empat dana Singapura; GIC Private Limited (AS$690 bilion / RM3.126 trilion), Temasek Holdings (AS$541 bilion/ RM2.45 trilion) dan Central Provident Fund Board – CPFB) (AS$381 bilion/ RM1.726 trilion), Monetary Authority of Singapore – MAS (AS$419.1 bilion/ RM1.89 trilion).
Empat dana ini jika dihimpunkan ia menjadi Dana Kekayaan Berdaulat tertinggi di dunia. Dalam negara, Malaysia sendiri memiliki dana besar SWF Khazanah Nasional yang berada pada ranking ke-32 SWF dunia bernilai AS$35.8 bilion (RM162.4 bilion).
Manakala, Agensi Pelaburan Brunei (BIA) menduduki ranking ke23 SWF dunia bernilai AS$73, bilion (RM331.2 bilion).
Indonesia pula, melancarkan SWF dengan bantuan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai pengalaman besar menguruskan dana ini.
INSTITUSI KHAS
Kerajaan Indonesia membentuk institusi khas mengurus pelaburan SWF iaitu Lembaga Pengurusan Pelaburan (LPI).
Kerajaan Indonesia menetapkan modal LPI pada IDR75 trilion bersamaan AS$5 bilion (RM22.5 bilion).
Dalam perkembangan terbaru, Filipina pula melancarkan SWF-nya pada pertengahan Julai 2023 Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos pada 18 Julai menandatangani undang-undang Akta Dana Pelaburan Maharlika (MIF) sebagai “langkah berani” ke arah transformasi ekonomi negara.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Laporan Kestabilan Kewangan Globalnya pada Oktober 2007, mentakrifkan SWF sebagai dana pelaburan khas yang diwujudkan atau dimiliki kerajaan untuk mengawal aset asing bagi kepentingan dan matlamat jangka panjang.
Matlamat yang dimaksudkan berkaitan beberapa kepentingan iaitu: i. kestabilan kewangan, ii. menabung untuk generasi akan datang, iii. sebagai rizab pelaburan korporat, iv. penyediaan dana untuk pembangunan dan v. bagi tujuan pengurusan kumpulan wang rizab pencen.
SWF menjadi semakin penting bagi ekonomi masa depan kebanyakan negara di dunia.
Sarawak komited menggandakan dana bagi pendapatan negeri setiap tahun.
Serius dengan langkah ini, Dana Kekayaan Berdaulat masa Depan Sarawak juga harus selari dikembangkan untuk dijadikan sandaran dana masa depan.
