
Kesukaran pengguna yang sering berdepan kesesakan lalu lintas kini berakhir apabila Jejambat Batu 6, di sini, dibuka kepada orang awam pada jam 4 petang tadi.
Menurut Unit Lebuhraya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataan di Facebook hari ini, lorong memotong jejambat tersebut telah mula dibuka hari ini.
Katanya, pembukaan jejambat itu bertujuan agar pihak pengurusan trafik kontraktor dapat memantau pergerakan kenderaan di laluan berkenaan.
“Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memandu berhati-hati ketika melalui kawasan yang masih lagi dalam pembinaan.
“Patuhi tanda trafik yang telah disediakan,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, pelaksanaan projek jejambat itu mengalami gangguan berikutan kekurangan bekalan bitumen pada akhir Jun hingga awal Julai lalu.
Bagaimanapun, pihak kontraktor projek Jejambat Batu 6 dan Batu 7 memaklumkan stok bitumen yang dibekalkan daripada pembekal di sini telah kembali pulih.
