Trending

Jelajah Advokasi Keselamatan 2023 diteruskan ke 12 Bahagian

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Program Jelajah Advokasi Keselamatan 2023 di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (LPB) akan diteruskan di seluruh 12 Bahagian di Sarawak, ujar Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. 

Katanya, program jelajah ini merupakan salah satu usaha dalam memberikan pendidikan dan panduan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas ketika berada di LPB.

“Program ini bertujuan memberi kesedaran keselamatan kepada orang ramai melalui taklimat mengenai peraturan-peraturan trafik, advokasi serta aspek keselamatan di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak secara menyeluruh. 

“Ia memandangkan penggunaan lebuh raya pertama di Sarawak masih lagi baru dalam kalangan masyarakat di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Advokasi Keselamatan Pan Borneo Sarawak 2023 menerusi teks yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir. Aidel Lariwoo di Dewan Baitulmal Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 

Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD)

amat berpuas hati dengan kemajuan projek LPB yang dicapai sehingga ke hari ini. 

“Tahniah kepada pihak JKR Sarawak di atas komitmen berterusan mengurus tadbir projek ini semenjak perkhidmat Rakan Pelaksana Projek (Project Dilivery Partner) ditamatkan pada tahun 2020.

“Pada hari ini kita telah melihat sendiri seksyen demi seksyen di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo ini dibuka kepada orang awam. 

“Dan semestinya lebuh raya yang pertama di Sarawak ini banyak memberi keselesaan dan kemudahan kepada semua pengguna khasnya rakyat Sarawak,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau memberitahu, dalam tahun ini sahaja berlaku peningkatan kadar kemalangan di sepanjang LPB khasnya pada musim perayaan.

Bukan itu sahaja, terdapat juga video tingkah laku segelintir pengguna lebuh raya yang memandu melawan arus, melakukan pusingan U di persimpangan P, membuat pusingan haram sehingga menyebabkan kemalangan, dipaparkan di media sosial.

“Tidak kurang juga kes-kes kecurian dan vandalisme ke atas kemudahan yang telah disediakan di sepanjang lebuh raya ini. 

“Oleh itu, pihak kerajaan Negeri bersama-sama pelbagai jabatan dan agensi merasakan sesuatu pendekatan yang serius perlu dilakukan dan program kesedaran sebegini sangat kena dengan masanya,” tegasnya.

Sementara beliau memberitahu, dianggarkan sekitar 200 sehingga 400 ahli KMKK (jemputan melalui Pejabat Residen/daerah) menyertai setiap sesi taklimat ini yang mana kemudiannya mereka akan berkongsi maklumat yang diperoleh bersama dengan masyarakat di bawah kawasan masing-masing.    

Justeru, beliau berharap, maklumat yang diperoleh menerusi program ini nanti dapat dikongsikan oleh para peserta kepada komuniti di kawasan masing-masing.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru