Jelapang padi utama di Bau

BAU: Serembu akan dibangunkan untuk menjadi kawasan penanaman padi utama di daerah ini.

Adun Serembu Miro Simuh berkata, kawasan paya seluas 600 ekar di kawasan Kampung Sekunyit, Kampung Segak, Kampung Peninjau Lama dan Baru sudah dikenal pasti untuk penanaman padi.

“Untuk projek pertama, sebanyak RM500,000 akan digunakan untuk membangunkan projek tali air manakala bagi projek kedua, tanah tersebut akan dibersihkan.

“Seterusnya, jabatan yang bertanggungjawab akan membantu peserta membangunkan kawasan ini sebagai kawasan penanaman padi utama di Daerah Bau ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penutupan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) 2020 di Dewan Kandis Lama, Bau pada Isnin.

TERMA KASIH… Miro Simuh menerima cenderahati daripada Jabatan Pertanian Daerah Bau.

Selain itu, beliau berkata, kemudahan penternakan lembu juga akan dikembangkan di tanah seluas 120 ekar di Kampung Merembeh.

Ujarnya, buat masa ini, kita sudah mempunyai peruntukan sebanyak RM500,000 untuk pembukaan tanah, pengairan dan pelaksanaan projek-projek lain yang berkaitan.

“Kita juga akan mula menanam rumput napier yang berasal dari India iaitu sejenis rumput yang bersaiz besar, keras dan spesies rumput yang paling tahan lama serta mengandungi jumlah protein yang tinggi untuk lembu.

“Untuk memulakan proses pembiakan, kita akan membawa sekitar 100 lembu ke ladang dan seterusnya akan berlipat ganda dari tahun ke tahun,” jelasnya.

Miro menambah, projek tersebut dijangka bermula pada tahun depan kerana persiapan infrastruktur asas perlu disediakan termasuk pembinaan jalan raya, pembersihan tanah dan penanaman rumput.

“Tahun depan, kami akan membawa lembu ini. Kami menjangkakan mencapai antara 600 hingga 700 lembu dalam tiga tahun,” katanya, sambil menambah projek ini itu melibatkan 32 peserta.

Ditanya mengenai maklum balas penduduk tempatan mengenai inisiatif pertaniannya Miro berkata, penyertaan dan penerimaan masyarakat sangat memuaskan.

“Di setiap kampung, kami telah memperkenalkan semua jenis produk pertanian yang kami ingin mereka tanam dan sambutannya sangat baik.

Sebagai contoh, untuk penanaman ‘baby corn’ di Krokong, kami mempunyai hampir 60 peserta. Ia bermaksud masyarakat menerima cara tersebut.

“Mereka rela belajar dan mereka bersedia untuk melakukannya. Langkah seterusnya adalah membantu mereka mencapai kejayaan,” tambahnya.