Jemaah ikut giliran di Masjid al-Muhhtadin – Justi Amban

SARATOK: Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid al-Muhtadin mengambil inisiatif untuk menggunakan konsep bergilir-gilir bagi memastikan ramai umat Islam berpeluang menunaikan solat Jumaat di masjid sepanjang tempoh PKPP.

Timbalan pengerusinya Justi Amban memberitahu, kebenaran menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid menjadi satu kelegaan kepada umat Islam selepas 12 minggu tidak dibenarkan ekoran pandemik Covid-19.

Justeru katanya, ramai penduduk rindu untuk bersama-sama berjemaah di masjid. “Namun seperti sedia maklum kita harus akur dengan arahan kerajaan yang membenarkan hanya 50 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Muhtadin bermula 12 Jun lalu.

“Jumaat lalu kita menggunakan konsep siapa datang dulu di semua kawasan. Selepas ini, JKP memutuskan untuk menggunakan konsep bergilir bagi kawasan kediaman,” katanya. Jelasnya, notis sudah dikeluarkan untuk rujukan semua Muslimin dan ia harus dipatuhi.

“Ini bertujuan memberi peluang serta kemudahan kepada semua untuk menunaikan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPP ini. Pendek kata biar rami agik ampit. “Bagaimanapun, konsep siapa cepat dia dapat itu masih terpakai dalam kumpulan yang ditetapkan.

“Ini bermaksud, apabila kouta 50 jemaah sudah penuh, maka jemaah yang selebihnya tetap tidak dibenarkan masuk,” jelasnya.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan, giliran Kumpulan A yang terdiri daripada warga Kampung Tanjung, Bunga Raya dan Kampung Masjid ialah pada 19 Jun, 24 Julai dan 28 Ogos. Kumpulan B (Kampung Melango Baru, Melango Lama dan Lot Wawasan Melango Lama) ditetapkan pada 26 Jun dan 31 Julai.

Kumpulan C (Taman Seroja Indah dan Taman Muhibbah) pula pada 3 Julai dan 7 Ogos. Sementara Kumpulan D iaitu melibatkan Taman Ratus Melati, Taman Desa Damai, dan Kuarters JKR ialah pada 10 Julai dan 14 Ogos.

Manakala Kumpulan E (Taman Lily, Kim Hin, Maniata, Mega dan lain-lainnya) pada 17 Julai dan 21 Ogos.