Jenama Tanam tembusi pasaran antarabangsa

DALAT: Jenama Tanam yang berasal dari Kampung Tanam Dalat kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa apabila produk yang dihasilkan dengan rekaan bermotifkan terendak (tapow atau sera’o) ini berjaya mendapat permintaan dari luar negara.

Adun Dalat Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jenama Tanam dengan tema A New Dawn of An Exquisite Legacy merupakan hasil Socoe Sdn Bhd dengan artis (The Tapow Ladies of Kampung Tanam) yang menghasilkan terendak dari Kampung Tanam Dalat.

Menurutnya, menerusi jenama berkenaan ia berupaya membawa budaya etnik di Sarawak ke peringkat antarabangsa.

“Kolaborasi antara The Tapou Ladies of Kampung Tanam Dalat dengan Socoe Sdn. Bhd akan menggunakan Sera’o ini dalam rekaan produk mereka seperti tali leher, skaf, baju dan kain.

“Malah ia akan menggunakan teknologi terkini untuk memasarkan produk ini ke peringkat antarabangsa dan kini telah mendapat tempahan dari Hong Kong dan Melbourne, Australia,” katanya berucap dalam majlis perasmian Tebingan Dalat dan BazarNita Dalat di sini semalam.

Tambahnya, inspirasi di sebalik pelbagai produk baharu ini adalah untuk melestarikan warisan dan budaya pelbagai produk tempatan serta menginovasi seni ke pasaran dan standard global yang boleh diterima ramai pihak.

“The Tapow Ladies ini terkenal dengan kerajinan dan ketelitian dalam menghasilkan tapow dan ia akan tetap menjadi mutiara tersembunyi di Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, di Bazarnita sendiri kini juga sebanyak 183 terendak telah digantung sebagai hiasan bagi mengindahkan lagi kawasan yang akan menjadi hab ekonomi dan ketekunan wanita dan di Dalat.

Suara Sarawak