Jenayah komersial catat kerugian RM120 juta di Sarawak

KUCHING: Sebanyak 1,340 kes jenayah komersial direkodkan di Sarawak sepanjang tahun lepas dengan kerugian sebanyak RM120 juta, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, DSP Maria Rasid semalam.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 437 kes atau 25 peratus berbanding  1,777 kes bagi tempoh yang sama tahun 2018, bagaimanapun jumlah kerugian meningkat RM42 juta atau 54 peratus berbanding RM78 juta dalam tahun 2018.

“Kes jenayah komersial yang melibatkan mangsa paling ramai ialah pecah amanah dengan 233 kes yang membawa kerugian sebanyak RM22 juta, “ katanya dalam sidang media di sini yang turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din dan Timbalannya, Datuk Dev Kumar M. M. Sree.

Maria berkata kes penipuan pinjaman wang tidak wujud pula melibatkan 210 kes dengan kerugian RM2 juta; Macau Scam (140 kes dengan kerugian RM13 juta), Love Scam (84 kes dengan kerugian RM4 juta) penipuan pembelian di internet (71 kes dengan kerugian RM1 juta) dan penipuan pelaburan (64 kes dengan kerugian RM7 juta.

Sementara itu Ramli berkata seramai 95 orang anggota polis di bawah Kontinjen Sarawak telah dikesan melakukan kesalahan tatatertib di mana setakat ini lapan orang  telah digantung kerja dan lima lagi ditahan kerja sementara menunggu prosiding mahkamah ke atas mereka selesai.

“Seramai 13 anggota polis turut terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan mereka sedang diambil tindakan,” katanya. – Bernama

Suara Sarawak