MIRI: Staying Safe Online Campaign 2019 diharapkan dapat membantu menyediakan masyarakat ketika menghadapi sebarang kemungkinan jenayah siber atau dalam talian.
Adun Lambir Ripin Lamat berkata, program berkenaan memberi kesedaran dan pendidikan masyarakat tentang cara mengelak dan melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.
“Penipuan dalam talian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan ia semakin berleluasa berlaku pada masa kini,” katanya dalam Majlis Perasmian Staying Safe Online Campaign 2019 di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Sarawak Miri, semalam.
Ripin menegaskan, jenayah siber merupakan satu isu yang semakin mencatat peningkatan dan memberikan impak negatif kepada masyarakat umum.
“Pendedahan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon kepada pihak tidak bertanggung- jawab menyebabkan masalah ini berlaku.
“Ini kerana, kumpulan tidak bertanggungjawab itu menggunakan semua maklumat berkenaan untuk tujuan penipu sekaligus mengaut keuntungan,” ujarnya.
Oleh itu kata Ripin, antara faktor utama penyumbang jenayah siber masa kini ialah kurangnya maklumat dalam penggunaan teknologi dengan selamat.
Terdahulu, Staying Safe Online Campaign 2019 dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang (MITeC) Sarawak.
Penganjuran kempen tersebut juga merupakan salah satu daripada komitmen MITeC dalam melaksanakan tindakan dan agenda promosi bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risiko jenayah siber.