Jenazah ASP Aldrin tiba di Kuching hari ini

KUCHING: Suasana pilu dirasai di bangunan MASkargo di sini sebaik jenazah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, ASP Aldrin Gonda tiba kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Sebaik tiba menggunakan pesawat MAS, jenazah mendiang yang diletakkan dalam keranda putih diusung keluar pegawai-pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Ibu bapa mendiang, Gonda Bong Mim Fui dan Milah Majin termasuk saudara-maranya turut berada di MASkargo bagi menyambut ketibaannya.

Jenazah kemudian dibawa menggunakan van jenazah polis ke kampung halamannya di Kampung Terbat Leban, Serian.

Isteri mendiang Anastasia Chu bersama seorang anak lelaki mereka tiba di sini hari ini dengan menaiki pesawat King Air Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mendiang akan dikebumikan esok di tanah perkuburan Kampung Terbat Leban.

Mendiang Aldrin, 38, meninggal dunia selepas kereta peronda dinaiki bersama dua anggotanya terbabas dan terbalik di lampu isyarat Arkib Negara, Alor Setar, Kedah pada Ahad.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, mendiang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah manakala dua lagi anggotanya masing-masing luka di kepala dan kedua-dua kaki.

Gonda Bong Mim Fui dan Milah Majin meratapi keranda anaknya, mendiang ASP Aldrin yang tiba di MASkargo pagi tadi.FOTO: Mohd Alif Noni

 

FOTO : Mohd Alif Noni

 

FOTO : Mohd Alif Noni

 

FOTO : Mohd Alif Noni

Suara Sarawak