BINTULU: Jenazah Laskar Kelas II Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kavin Raj Multy, yang terkorban akibat kemalangan jalan raya di Bintulu pada Jumaat lalu selamat tiba di kediaman bapanya di Sungai Petani, Kedah, hari ini.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, jenazah dihantar pulang menggunakan perkhidmatan Mas Kargo dari Lapangan Terbang Miri pada jam 2.50 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang.
Menurutnya, terdahulu, mayat mendiang disempurnakan menerusi satu istiadat penghormatan terakhir oleh anggota dan pegawai Maritim Zon Bintulu.
“Jenazah tiba di kediaman bapanya sekitar jam 1 pagi diiringi oleh Pasukan Kawalan Jenazah dengan penuh penghormatan sebelum diserahkan kepada waris bagi pengurusan jenazah mengikut agama dianutinya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, setibanya di lokasi, suasana pilu menyelubungi kediaman apabila ahli keluarga termasuk bapa mendiang, Multy Maraiappan, 51, tidak dapat menahan sebak melihat kenderaan membawa jenazah memasuki kediaman.
Tambahnya, ia merupakan satu kehilangan besar kepada agensi berikutan mendiang merupakan seorang anggota yang berdedikasi dan berdisiplin sepanjang bertugas.
Susulan itu, beliau mewakili pihak Maritim Malaysia, khususnya Zon Maritim Bintulu mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kejadian terbabit.
Dalam pada itu, Effendy turut menyeru kepada saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil dalam membantu pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan yang menimpa mangsa semasa kejadian.